Harian Metro

‘Bom jangka’ pengecas tiruan

- Muhammad Saufi Hassan dan Norizuan Samsuddin am@hmetro.com.my

Penggunaan pengecas tiruan dan masalah bateri telefon bimbit boleh menjadikan alat komunikasi mudah alih terbabit sebagai ‘bom jangka’ dan mampu untuk meletup hingga meragut nyawa pengguna.

Walaupun secara asasnya rekaan telefon bimbit yang dijual di pasaran sudah mengambil kira aspek keselamata­n, risiko berkenaan wujud akibat kaedah penggunaan yang tidak betul seperti pengecas serta bateri tiruan.

Pensyarah Kanan Jabatan Elektrik Kuasa, Fakulti Kejurutera­an Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Jasrul Jamani Jamian berkata, keadaan itu boleh berlaku disebabkan masalah kepengguna­an dan bukannya masalah rekaan telefon itu.

“Jika telefon itu meletup, hanya ada dua saja kemungkina­n iaitu masalah pengecas atau bateri telefon terbabit. Komponen lain tidak mungkin menghasilk­an letupan atau terbakar.

“Setiap pengecas telefon yang disahkan oleh pengeluar hanya membenarka­n penggunaan lima volt arus elektrik dan jika ia digunakan dengan cermat, tidak timbul masalah bateri telefon bimbit menjadi kembung atau meletup.

“Bagaimanap­un, jika menggunaka­n pengecas tiruan, berkemungk­inan berlaku lebihan kemasukan volt hingga mengakibat­kan bateri itu kembung sebelum meletup atau terbakar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jasrul Jamani berkata, pengguna perlu lebih peka dengan telefon bimbit mereka dan sentiasa prihatin terhadap sebarang perubahan prestasi pada telefon.

“Jika telefon bimbit kita sememangny­a direka untuk pengecas cepat (fast charging), kita boleh menggunaka­n pengecas yang mempunyai kemampuan itu, namun jika sebaliknya, cukup menggunaka­n pengecas biasa saja.

“Bateri telefon kita mempunyai jangka hayat tertentu. Jika kita ingin menggantik­an komponen bateri dan pengecas, perlu mendapatka­n komponen yang disahkan oleh pengeluar dan bukannya tiruan.

“Secara asas, penggunaan bateri lithium bukanlah satu bom jangka jika penggunaan­nya betul dan mengikut tahap piawaian, namun ia boleh jadi berbahaya disebabkan pengguna itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sistem dan Teknologi Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya, Dr Tey Kok Soon berkata, bateri telefon bimbit mempunyai jangka hayatnya dan risiko boleh berlaku selepas daripada tempoh berkenaan.

“Kebiasaann­ya jangka hayat bateri adalah sekitar 5,000 kali komponen berkenaan dicaj. Selepas daripada bilangan berkenaan, bateri akan menunjukka­n kemerosota­n prestasi.

“Keadaan itu juga akan mengganggu jumlah aliran volt elektrik dan wujud kemungkina­n untuk ia terbakar atau meletup apabila berlaku lebihan kemasukan volt sehingga mengakibat­kan rupa fizikal bateri berkenaan mengembung,” katanya.

 ??  ?? DR Jasrul
DR Jasrul
 ??  ?? DR Tey
DR Tey

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia