Harian Metro

KEMBALI PAKAI TANJAK

 Jurukamera mahu angkat martabat pakaian tradisiona­l kian lenyap ditelan zaman

- Norizuan Shamsuddin norizuan@hmetro.com.my

>>Antara tanjak dihasilkan ialah tanjak balung ayam, tanjak alam Iskandar, tanjak balung raja dan tanjak naga berlabuh Keunikan tanjak yang kebiasaann­ya dipakai oleh golongan pembesar masyarakat dulu membuatkan saya berminat memakainya”

Sallehin Hussain

“Mungkin gelagat saya memakai tanjak di tempat awam dianggap pelik kerana kelihatan seperti panglima atau pembesar masyarakat Melayu dulu kala.

“Tapi saya mahu masyarakat Melayu mengangkat tanjak yang menjadi kebanggaan orang Melayu sebagai fesyen menggantik­an topi supaya warisan ini tidak hilang ditelan zaman,” kata Sallehin Hussain, 38.

Peminat pakaian tradisiona­l warisan Melayu itu menjadikan tanjak sebagai sebahagian pakaiannya yang turut dipakai ketika melakukan rutin harian.

Minat terhadap tanjak mendorong Sallehin mempelajar­i cara membuat tanjak serta menggayaka­nnya dengan kaedah yang betul.

Menurutnya, pada mulanya dia mempelajar­i cara membuat tanjak dengan merujuk video dimuat naik di YouTube dan blog sejak enam tahun lalu.

“Keunikan tanjak yang kebiasaann­ya dipakai oleh golongan pembesar masyarakat dulu membuatkan saya berminat memakainya.

“Namun untuk mendapatka­n maklumat lanjut, saya berhubung dengan seorang pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menjadi tenaga pengajar berkaitan busana Melayu.

“Bermula sejak itu, saya belajar mengenai kaedah simpul, jahitan dan kain digunakan bagi membuat tanjak. Syukur kini saya boleh menghasilk­an pelbagai jenis tanjak berkualiti,” katanya ketika ditemui di kediamanny­a di Ukay Perdana, Ampang.

Dia memberitah­u antara tanjak dihasilkan ialah tanjak balung ayam, tanjak alam Iskandar, tanjak balung raja dan tanjak naga berlabuh.

Jurukamera itu berkata, hasil tangannya turut menarik minat rakan-rakannya selepas dia memuat naik gambar tanjak dihasilkan di Facebook (FB) dan Instagram miliknya.

“Malah, ada yang meminta saya menghasilk­an tanjak untuk mereka, jadi dapatlah sedikit wang untuk tampung perbelanja­an keluarga.

“Pada kebiasaann­ya saya mengambil masa seminggu atau lebih untuk siapkan tanjak yang turut bergantung kepada kelapangan jika tidak ada tugasan lain,” katanya.

Bapa kepada enam anak itu berkata, dia lebih gemar mengekalka­n keaslian dalam menghasilk­an tanjak bagi menjaga asal-usul seni warisan tradisiona­l masyarakat Melayu.

“Tanjak yang asli asasnya perlu ada simpul, tapak dan gubahan atau karangan. Setiap jenis simpul digunakan itu menunjukka­n dari mana si pemakainya berasal.

“Jika menggunaka­n simpulan ketupat palas, ia menunjukka­n si pemakai berasal dari tanah Melayu. Saya cuba mengolah tanjak lama kepada gaya terkini agar sesuai dengan peredaran zaman.

“Selain itu, bagi pemilihan kain, saya utamakan jenis ‘cotton’ yang dicetak corak songket kerana ia lebih lembut dan selesa dipakai berbanding songket asli,” katanya.

Tanjak dihasilkan­nya dijual pada harga RM75 hingga RM150 bergantung kepada jenis kain dan jika menggunaka­n songket, kosnya akan meningkat.

 ??  ?? SALLEHIN menjadikan tanjak sebagai sebahagian pakaiannya yang turut dipakai ketika melakukan rutin harian. TANJAK
Sallehin dijual pada harga RM75 hingga RM150.
SALLEHIN menjadikan tanjak sebagai sebahagian pakaiannya yang turut dipakai ketika melakukan rutin harian. TANJAK Sallehin dijual pada harga RM75 hingga RM150.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia