Harian Metro

Khairy sahut cabaran debat

- Esther Landau dan Luqman Arif Abdul Karim cnews@nstp.com.my

 Peluang calon Presiden UMNO terjemah idea, pemikiran, hala tuju kukuhkan budaya demokrasi

Penganjura­n debat dalam kalangan calon merebut jawatan Presiden UMNO berupaya menguatkan budaya demokrasi parti dan menjadi pentas meraih keyakinan ahli.

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menyahut cabaran untuk berdebat itu berkata, penyediaan ‘gelanggang’ sedemikian perlu dibuat supaya harmoni dengan semangat pemilihan dalam keluarga.

Katanya, peluang itu boleh dimanfaatk­an untuk menterjema­h idea, pemikiran dan hala tuju yang ingin diterajui setiap calon, sekali gus menjadi pengukur kepada pengundi dalam menentukan pemimpin paling layak menyandang jawatan Presiden UMNO.

“Boleh, bila-bila masa, cuma siapa yang akan anjurkanny­a dan moderator debat itu harus ditentukan kerana ini pemilihan dalam keluarga. “Ada yang mengatakan jangan anjurkan debat, tetapi saya rasa kenapa tidak kerana ini akan kuatkan budaya demokrasi dalam UMNO yang ketika ini dahagakan perubahan.

“Menerusi debat, ia akan menjadi sandaran kepada ahli untuk memilih calon terbaik menerajui UMNO pada masa depan,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Khairy Jamaluddin berkata, mesej utama yang perlu dipegang setiap ahli ketika ini adalah supaya UMNO tidak lagi terpisah daripada rakyat sehingga menyumbang kepada faktor kekalahan parti dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mengulas kemungkina­n diberi jawatan lain jika gagal merebut kerusi Presiden, Khairy Jamaluddin berkata, tawaran sedemikian tidak seharusnya dibuat, selaras semangat yang akan diselami setiap ahli menjelang proses pemilihan pada 30 Jun ini.

“Kalau tidak berjaya, saya akan terus kekal bersama UMNO menjadi ahli yang setia, biarlah tiada apa-apa tawaran kerana itu sepatutnya jadi sandaran semangat pemilihan.

“Saya akan masih jadi Ahli Parlimen (Rembau) dan menggalas tugas sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau,” katanya.

Mengimbau keputusan bertanding jawatan Presiden berbanding Naib Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, hasrat itu disuarakan terlebih dulu kepada mentor yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Khairy Jamaluddin berkata, tindakan itu dilakukan atas dasar hormat dan bagi memohon nasihat sebelum mengemukak­an hasrat mengenai percaturan yang disifatkan sudah pasti mengundang teguran daripada pelbagai pihak.

“Saya ada kata ‘abang tandinglah Presiden’ ketika bertemu dengan Tok Mat (Mohamad Hasan) tetapi beliau nak kekalkan hasrat sebagai Timbalan Presiden.

“Oleh itu, saya pun tanya, boleh tak kiranya nak bertanding Presiden kerana beliau bukan sekadar ketua tapi mentor yang sering memberikan nasihat.

“Beliau akhirnya bagi keizinan pada saya,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? TENGKU Razaleigh
TENGKU Razaleigh

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia