Harian Metro

Batas usia anak susuan

-

 Bukan mahram jika kanak-kanak disusukan lebih usia 2 tahun

Saya ada anak angkat perempuan berusia tiga tahun. Untuk menjadikan dia anak susuan, bolehkah saya memberikan susu badan menggunaka­n botol walaupun usianya mencecah tiga tahun?

Sahkah dia menjadi anak susuan saya? Jika tidak, apakah langkah yang perlu saya lakukan kerana saya bimbang mengenai auratnya bersama suami dan anak lelaki kandung apabila dia besar nanti.

Ibu ingin tahu, KL

Antara usaha yang dilakukan ibu bapa angkat bagi mengatasi masalah aurat dengan anak angkat mereka adalah dengan kaedah susuan.

Penyusuan dari segi bahasa bermaksud menghisap payudara ibu dan minum susunya. Sementara penyusuan dari segi istilah syarak pula ialah susu perempuan yang mengalir masuk ke dalam perut bayi.

Dari segi syarak, hukum seorang perempuan menyusukan bayi bukan anaknya adalah harus. Islam memperakui dan tidak mengharamk­annya.

Dalam sesetengah keadaan, penyusuan mempunyai kepentinga­n dan memenuhi keperluan tertentu. Contohnya, ibu bayi itu meninggal dunia atau menghidap penyakit yang menghalang penyusuan.

Perempuan lain perlu menyusukan­nya demi kelangsung­an hidup anak berkenaan. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan (sebaliknya) jika kamu (daripada kedua-dua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukan­nya. (Surah al-Talaq, ayat 6)

Terdapat dua hukum hubungan kekeluarga­an yang terjadi dengan sebab penyusuan iaitu:

1. Perkara yang haram kerana penyusuan.

Penyusuan menjalinka­n hubungan kekeluarga­an antara anak susuan dan keluarga ibu susuannya. Hubungan itu memberi kesan dalam mewujudkan golongan yang haram dikahwini.

Penyusuan juga menyebabka­n anak susuan menjadi mahram. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) ibu-ibu kamu yang menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu. (Surah alNisa’, ayat 23)

Ayat al-Quran itu menunjukka­n dengan sebab penyusuan, ibu susuan menjadi ibu kepada anak yang disusukan dan anak perempuann­ya menjadi saudara perempuan anak susuannya.

Oleh itu, mereka yang termasuk dalam senarai keturunan ibu susuan atau saudara perempuan susuan yang haram dikahwini oleh anak susuan, sama seperti mereka dalam senarai keturunan ibu kandung atau saudara perempuann­ya sendiri.

2. Perkara yang halal kerana penyusuan.

Semua perkara yang halal dalam keluarga kerana keturunan, halal juga kepada keluarga kerana susuan. Seseorang lelaki itu halal apabila:

Melihat saudara perempuan susuannya seperti saudaranya sendiri.

Tinggal bersendiri­an dengannya.

Bermusafir dengannya melebihi tiga hari. Bagaimanap­un, hukum itu tidak bermakna seseorang lelaki itu harus melihat saudara perempuan susuannya dengan berahi. Begitu juga sebaliknya.

Pandangan dengan perasaan berahi adalah haram walaupun ahli keluarga sendiri. Oleh itu, ulama fiqh kebelakang­an ini menyatakan seorang perempuan makruh menyusukan kanak-kanak bukan anaknya sendiri tanpa sebarang keperluan mendesak.

Makruh juga bagi seorang lelaki dan perempuan susuan bergaul bebas sesama mereka. Keadaan itu kerana ia berkemungk­inan mendorong pelbagai keburukan dan perkara haram akibat lemah pegangan agama.

Penyusuan menyebabka­n anak susuan menjadi ahli keluarga dan haram dikahwini apabila memenuhi dua syarat berikut:

1. Anak yang menyusu itu belum mencapai usia dua tahun. Jika usianya melebihi dua tahun, penyusuan tidak menjadikan­nya mahram dan tidak menjadikan­nya ahli keluarga bagi ibu yang menyusukan­nya.

Sebuah hadis daripada ‘Aisyah yang bermaksud: “Nabi SAW masuk menemuinya ketika dia bersamasam­a seorang lelaki. Wajah Baginda berubah seolaholah membenci keadaan itu.

Lalu ‘Aisyah berkata:

“Dia ialah saudara susuanku.” Baginda pun bersabda: “Pastikan siapa saudara kamu, penyusuan hanya ketika anak kecil berasa lapar.” (Riwayat al-Bukhari - 4814 dan Muslim - 1455)

Hadis itu menyatakan, anak susuan menjadi mahram apabila penyusuan dilakukan ketika kanak-kanak itu berasa lapar kerana tidak menyusu dan berasa kenyang apabila menyusu. Hal itu tidak berlaku melainkan ketika kanak-kanak itu masih kecil.

2. Kanak-kanak itu disusukan kenyang sebanyak lima kali yang berasingan. Jika anak berhenti menyusu kerana kenyang, dia dianggap sebagai sekali susu.

Jumhur fuqaha’ juga bersepakat, terdapat dua kaedah penyusuan bagi menjadikan bayi itu mahram dengan sebab susuan iaitu penyusuan secara langsung daripada payudara dan penyusuan secara tidak langsung seperti menggunaka­n tiub, botol susu dan sebagainya.

Bagi wanita yang menggunaka­n alat sokongan sebagai kaedah menyusukan bayi, bayi itu sah sebagai anak susuan apabila cukup syarat penyusuan ditetapkan syarak iaitu:

Bilangan susuan hendaklah lima kali penyusuan.

Susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi

Umur bayi tidak melebihi dua tahun mengikut perkiraan bulan qamariah.

Sekiranya anak angkat itu sudah melebihi usia dua tahun, tambahan pula makanan asasinya bukan lagi susu ibunya, maka dia tetap mempunyai batasan aurat dan dikira bukan mahram kepada keluarga angkatnya.

Ibu dan bapa angkat hendaklah mendidik mereka dan ahli keluarga mengenai batasan aurat bersama anak angkat apabila dia mencapai usia baligh.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia