Tae Hyun tanggung hutang
Berharap sokongan peminat
untuk naikkan
karier kumpulan South Club
Annyeonghaseyo! Risiko yang ditanggung artis di Korea Selatan apabila meninggalkan agensi sememangnya sangat besar.
Apatah lagi jika memutuskan untuk bergerak sendiri yang pasti menelan kos tinggi.
Itulah yang dihadapi bekas anggota WINNER iaitu Nam Tae Hyun selepas meninggalkan YG Entertainment.
Bukan semua sanggup mengambil risiko itu, tetapi Tae Hyun ada alasan tersendiri berbuat demikian.
Penyanyi berkenaan mengambil keputusan itu demi meneruskan muzik pilihan sendiri dengan menubuhkan kumpulan yang digelar South Club.
Bukan saja menjadi ketua kumpulan, dia juga bertindak menjaga kewangan kumpulan itu.
Tanpa mendapat sokongan daripada syarikat korporat gergasi untuk menguruskan mereka, kumpulan itu perlu bergantung kepada Tae Hyun.
Dialah yang perlu mengendalikan pengurusan, penerbitan dan imej empat anggotanya.
Menurutnya, dia mesti menguatkan diri dan bertanggungjawab sepenuhnya demi memastikan kelangsungan karier South Club.
“Sekarang kena menguruskannya sendiri dan terlalu banyak tanggungan saya. Sayalah pengurus, jurudandan rambut, jurumekap dan sebagainya.
“Sebagai ketua kumpulan, saya juga kena bayar segala kos produksi, gaji kakitangan dan perbelanjaan lain supaya kumpulan ini terus bergerak,” katanya.
Disebabkan semuanya di bawah tanggungan Tae Hyun, dia kini berdepan masalah hutang dan berharap mendapat sokongan peminat untuk menaikkan karier mereka.
“Saya akui memang banyak hutang yang ditanggung sekarang ini demi memastikan kumpulan kami dijaga dengan baik.
“Apabila lagu kami tidak berapa berjaya, ia hanya menambahkan krisis kewangan saya. Disebabkan itu, saya berharap peminat akan menyokong lagu baru kami berjudul Outcast yang baru dilancarkan,” katanya.
Tae Hyun berjanji dia akan terus berkerja keras untuk mempromosikan South Club selain sentiasa muncul di TV.