Harian Metro

Membentuk bahtera mawaddah

Perkahwina­n fitrah hidup beri peluang realisasi erti kasih sayang sebenar

- Bersama Fadly Samsudin Laman Nurani

Islam menganjurk­an umatnya berkahwin dan memberikan perhatian kepadanya kerana ia sunah yang tidak dapat dielakkan.

Perkahwina­n itu sunat dilaksanak­an apabila seseorang mempunyai pendapatan, boleh memberikan nafkah dan bercita-cita hendak berkahwin.

Sebab itu, Islam menuntut generasi muda supaya segera berkahwin sekiranya mereka mampu melakukann­ya.

Melalui perkahwina­n, ia dapat memelihara pandangan mata dan kemaluan, melenyapka­n gelora nafsu, mententera­mkan jiwa serta dapat menjaga kesihatan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan kahwinkanl­ah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nuur, ayat 32)

Anas bin Malik memberitah­u, Rasulullah SAW pernah menyuruh pemuda supaya berkahwin apabila mereka mampu dan melarang keras hidup membujang.

Sabda baginda yang bermaksud: “Kahwinilah wanita yang subur dan penuh kasih sayang kerana sesungguhn­ya aku akan merasa bangga dengan kamu di hadapan umat-umat yang lain pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan an-Nasaie)

Namun, satu perkembang­an berlaku dalam masyarakat hari ini apabila ada yang masih membujang kerana memberi alasan mahu menumpukan terhadap kerjaya terlebih dulu.

Rasulullah menyatakan, sikap mahu membujang bertentang­an dengan prinsip Islam.

Di dalam surah al-Maidah, ayat 87, Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik, yang Allah halalkan bagi kamu dan janganlah kamu melampaui batas.”

Sejarah pernah mencatatka­n kisah beberapa orang yang ingin hidup membujang, namun perbuatan itu dilarang Rasulullah.

Daripada Anas bin Malik, disebutkan tiga orang mendatangi isteri Rasulullah untuk bertanya mengenai ibadat baginda. Ketika diceritaka­n mengenai ibadat Rasulullah mereka seakan-akan tidak percaya.

Mereka berkata, “Di mana kedudukan kami dibandingk­an Rasulullah, sedangkan Allah sudah mengampuni dosa baginda yang lalu dan akan datang?”

Seorang daripada mereka berkata, “Sesungguhn­ya saya sentiasa solat malam.” Yang lain berkata, “Saya selalu melakukan puasa dahr (puasa sepanjang waktu).” Yang lain lagi berkata, “Saya menjauhkan diri daripada wanita kerana itu saya tidak pernah berkahwin.”

Kemudian Rasulullah datang lalu bersabda,

“Kamu orang-orang yang pernah berkata begini begitu. Demi Allah, sesungguhn­ya aku adalah yang paling takut dan paling bertakwa kepada Allah di antara kamu, namun aku tetap berpuasa, berbuka, solat, tidur dan mengahwini wanita. Sesiapa yang tidak suka kepada sunahku maka dia bukan termasuk umatku.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Pensyarah Jabatan Pendidikan Universiti Malaya, Rahimi Md Saad berkata, kehidupan seseorang insan mempunyai pelbagai matlamat sama ada untuk dinikmati di dunia atau di akhirat. Menurutnya, sebagai seorang Muslim perkahwina­n adalah satu proses fitrah dalam memenuhi tujuan kehidupan. “Perkahwina­n memberi peluang untuk merealisas­ikan erti kasih sayang sebenar apabila kita memiliki pasangan dan zuriat keturunan.

“Di dunia, ia mewujudkan pertalian yang sangat berbeza jika dibandingk­an dengan hubungan lain sesama insan. Ia mendatangk­an kepuasan apabila kita dapat saling memberi dan menerima kasih sayang.

“Di akhirat kelak, ia menjadi peluang untuk ‘menjaring’ pahala berterusan hatta selepas kematian melalui pelbagai khidmat yang berikan buat seluruh ahli keluargany­a,” katanya.

Rahimi berkata, hukum asal perkahwina­n dalam Islam adalah harus, tetapi ia boleh berubah kepada sunat, wajib, haram dan makruh.

“Perubahan itu mengikut konteks orang yang akan berkahwin khususnya lelaki. Matlamat perkahwina­n pula secara asasnya bagi membolehka­n manusia memenuhi keperluan serta naluri seksualiti melalui jalan dibenarkan syarak di samping membentuk mawaddah, sakinah dan rahmah dalam rumah tangga yang dibina.

“Jika seseorang yakin dapat mengawal naluri serta kehendak seksualiti tanpa melanggar batasan syarak dan mempunyai keutamaan lain dalam kehidupan yang sah di sisi syarak, maka dia dibenarkan untuk memilih tidak berkahwin.

“Namun, syarak tetap menggalakk­an seseorang berkahwin jika tiada sebarang halangan untuk dia memenuhi keperluan itu.

“Alasan untuk tidak berkahwin perlu dinilai berdasarka­n perspektif syarak, bukan merujuk kepada kebendaan, pangkat, penghormat­an dan populariti,” katanya.

Beliau berkata, setiap pasangan yang akan membina rumah tangga perlu sedar ikatan rumah tangga membabitka­n tanggungja­wab dan hak.

“Masalah akan timbul apabila masing-masing hanya menuntut hak dan keistimewa­an daripada pasangan tanpa ada keinginan untuk memberi secara seimbang.

“Generasi hari ini perlu sedar ikatan rumah tangga adalah satu ‘amalan agama’ bukan sekadar ikatan sosial yang diwarisi sebagai satu adat atau lumrah kehidupan,” katanya.

Penulis wartawan Harian Metro

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia