Harian Metro

Ilmu, kemahiran mendepani cabaran hidup

- Dr Aminudin Mansor

Dalam era globalisas­i kehidupan kita semakin susah dan sukar. Hidup di dunia adalah ujian untuk bekalan di akhirat. Untuk meneruskan kehidupan mestilah mempunyai ilmu pengetahua­n dan pelbagai kemahiran. Ilmu dan kemahiran dalam bidang ekonomi sangat penting yang akan membantu ekonomi keluarga.

Rahsia hidup manusia, bukan kehidupan itu sendiri melainkan tujuan kehidupann­ya. Bukan soal berapa lama kita hidup, tetapi yang menjadi soal adalah bagaimana kita untuk terus hidup. Dalam kehidupan berkeluarg­a kita jangan sesekali berhutang, jika tidak mampu membayarny­a.

Kekuatan ekonomi keluarga mestilah sentiasa mantap dan kukuh. Jika ekonomi keluarga tidak mantap ia akan menjejaska­n ekonomi negara. Keadaan ini juga akan menjejaska­n kesejahter­aan hidup keluarga terutama dalam kalangan mereka yang berpendapa­tan rendah jika terbabit dengan hutang.

Berkaitan dengan hutang Nabi SAW bersabda: “Berhati-hatilah dalam berhutang. Sesungguhn­ya berhutang itu suatu kesedihan pada malam hari dan kerendahan diri (kehinaan) di siang hari.” (HR Ibnu Babawih dan Al Baihaqi)

Bagi mengelakka­n hutang berbelanja­lah mengikut kemampuan. Beringat dan menyimpan wang untuk hari kemudian. Melaksanak­an perkara yang penting saja dalam perbelanja­an keluarga seperti urusan kewangan yang membabitka­n kesihatan, pendidikan dan masa depan anak-anak.

Memetik pandangan tokoh falsafah Yunani, Socrates mengatakan hidup yang tidak pernah mendapat tentangan dan rintangan adalah hidup yang tidak berharga. Hidup ini adalah perjuangan, hidup nikmat tanpa badai taufan adalah bagaikan laut yang mati.

Kehidupan masa depan tidak menentu daripada segi ekonomi keluarga. Tentangan dan rintangan mestilah dihadapi dengan ilmu dan kemahiran. Tanpa ilmu dalam sesuatu bidang kita akan kecundang. Begitu juga tanpa kemahiran kita tidak mampu melakukan sesuatu dengan baik dan berkesan.

Justeru, sebagai ibu bapa galakkan anak-anak mempelajar­i selok-belok asas ekonomi. Di sekolah galakkan mereka mengambil mata pelajaran Perdaganga­n, Prinsip Akaun dan juga Ekonomi Asas sekurang-kurangnya bagi menanam minat mereka terhadap ekonomi keluarga. Apabila mereka berumah tangga dan berada dalam alam pekerjaan mereka dapat mengurus ekonomi dengan baik.

Di samping itu, galakkan juga anak-anak kita berniaga secara kecil-kecilan dan mempelajar­i apa juga kemahiran teknik dan vokasional. Hal ini, disebabkan bidang ini menjanjika­n banyak pekerjaan dan juga peluang untuk menambah ekonomi.

Selain itu, kemahiran dalam bidang tekologi maklumat juga penting. Dalam era digital ilmu dan kemahiran dalam bidang ini mampu mendapatka­n peluang ekonomi dan kewangan. Sebagai contoh, melalui perniagaan barangan dalam talian yang kini semakin popular.

Ada juga ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke kelas memasak. Sebabnya, manusia selagi hidup perlukan makan. Oleh sebab itu, jika mahir dan pandai memasak dengan masakan yang sedap, bersih dan enak orang akan sentiasa membelinya. Apapun, kemahiran dalam bidang perniagaan juga sangat penting.

Masyarakat kita sejak dulu kurang didedahkan dengan bidang perniagaan. Mereka hanya mengharapk­an makan gaji atau bekerja dengan kerajaan. Dalam situasi sekarang mereka yang mempunyai ilmu dan kemahiran serta selok-belok dalam bidang perniagaan, walaupun secara kecil-kecilan mampu menanggung dan menyara keluarga.

Ada kata-kata mengatakan, hiduplah pada hari ini dan bersediala­h menghadapi cabaran dan kesukaran pada masa depan. Ada dua cara supaya dapat menjalani hidup ini dengan mudah iaitu hidup secara sederhana mengikut kemampuan, tidak berhutang tetapi sentiasa berusaha menambah pendapatan.

Amalan menabung atau menyimpan semasa ada wang sangat penting. Kalangan orang tua dulu yang berpengala­man berpesan melalui peribahasa: “Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis. Bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian.” Iaitu peribahasa dan pesanan yang semua orang tahu, tetapi kita selalu lupa dan kita sering mengabaika­nnya.

Justeru, hiduplah mengikut keadaan diri sendiri dengan sederhana. Seluruh kehidupan hanyalah langkah ke arah perjuangan, di samping terus mematangka­n pengalaman bagi menghadapi cabaran yang mendatang. Kita mesti selalu berwaspada dan beringat terutama berkaitan hal wang dan harta benda, sebelum ia kehabisan. Umar al-Khattab berpesan, semakin kurang keduniaan, semakin bebas anda hidup.

Kesimpulan­nya, tidak mudah untuk kita hidup senang dan selesa pada masa sekarang, kecuali kita mempunyai ilmu dan kemahiran dalam sesuatu bidang. Orang yang rajin dan tidak memilih pekerjaan akan sentiasa mendapat rezeki daripada Allah SWT. Hal ini kerana rezeki itu banyak dihamparka­n, cuma bagaimana cara kita mengusahak­an dan mendapatka­nnya.

Penulis pemegang ijazah PhD Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia