‘Salah’ darah rendah
Rakam pemandu bawa kereta ‘terhuyung-hayang’ tengah jalan
Keadaan seorang lelaki warga emas yang mengalami tekanan darah rendah menyebabkan kereta dipandunya melanggar kenderaan lain di Lebuhraya Persekutuan menghala Klang, berhampiran Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 2.15 petang, kereta Honda CRV dipandu lelaki warga emas berkenaan, Ti Teow Yong, 79, melanggar belakang kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton dipandu lelaki berusia 41 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, seorang anggota polis trafik daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya Penguatkuasaan Trafik Petaling Jaya yang berada di lokasi kejadian menahan lelaki warga emas itu dan membawa keretanya ke balai polis.
“Hasil siasatan mendapati lelaki warga emas itu tidak sihat akibat tekanan darah rendah.
“Anak mangsa datang ke balai selepas dihubungi dan membawanya ke Tropicana Medical Center bagi pemeriksaan sebelum lelaki terbabit dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Azman berkata, kes itu turut tular di Facebook apabila seorang penunggang motosikal merakam lelaki warga emas terbabit memandu dalam keadaan berbahaya.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959,” katanya.
Dalam rakaman video berdurasi dua minit 41 saat itu, kereta dipandu lelaki warga emas berkenaan dilihat menukar lorong ke kiri dan kanan selain melanggar pembahagi jalan.
Individu yang merakam video berkenaan yang menunggang motosikal dilihat cuba mengarahkan lelaki warga emas itu untuk memberhentikan kenderaannya.