Harian Metro

Murid dijangkiti HFMD, dua sekolah ditutup

-

Georgetown: Dua sekolah di Pulau Pinang ditutup sepenuhnya apabila muridnya dijangkiti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).

Pengarah Kesihatan negeri Dr Wan Mansor Hamzah berkata, sekolah itu adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shih Chung (cawangan) dan Sekolah Antarabang­sa Tenby yang sebelum itu hanya satu kelas saja ditutup.

Bagaimanap­un, katanya, berdasarka­n pemeriksaa­n lanjut dijalankan, Jabatan Kesihatan mengambil keputusan menutup sepenuhnya dua sekolah itu buat sementara.

“Selain dua sekolah itu, enam kelas di SJKC Phor Tay diarahkan ditutup sejak semalam (kelmarin) apabila murid dijangkiti penyakit berkenaan.

“Pada masa sama, kami mengenal pasti murid SJKC Chung San dan SJKC Sum Sun dijangkiti HFMD, tetapi masih memantau serta penelitian sebelum mengambil keputusan sama ada hanya menutup kelas atau sekolah,” katanya.

HFMD adalah penyakit akibat jangkitan virus, khususnya daripada Coxsackie A16 dan Enteroviru­s 71 yang menular melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis penghidapn­ya.

Antara gejalanya ialah demam, ruam atau lepuh di tapak tangan dan kaki serta ulser pada mulut dan lidah.

Dr Wan Mansor berkata, hingga kini 18 premis membabitka­n taska, pusat jagaan dan sekolah ditutup 10 hari bagi proses pembersiha­n berikutan jangkitan HFMD di premis itu.

Sementara itu, beliau berkata, sejak penyakit HFMD dilaporkan meningkat di Pulau Pinang, pihaknya memeriksa 622 premis membabitka­n prasekolah, taska dan tadika.

“Untuk kes ini, tiga murid dimasukkan ke hospital berikutan dijangkiti penyakit ini dan keadaan mereka dilaporkan stabil serta di bawah pemantauan doktor.

“Kami sentiasa mengambil pelbagai langkah bagi membendung penularan penyakit ini dan terbaru dengan memberi taklimat kepada ibu bapa serta menguar-uarkan berhubung virus ini melalui radio supaya orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia