Bantu selamat institusi tahfiz
Putrajaya: Pihak berkuasa berkaitan disaran memberi fokus kepada usaha untuk membantu menyelamatkan institusi tahfiz terutama ketika masyarakat hari ini berdepan dengan gejala keruntuhan akhlak dan moral.
Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) Mahmud Hishamuddin Abd Rashid berkata, ia susulan tindakan penceramah bebas terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim yang mahu menjual Unit Tahfiz Darul Barakah di Pusat Pendidikan Al Barakah miliknya di Manjoi, Perak akibat tidak mampu menampung kos pentadbiran yang tinggi.
“Saya berpandangan perlu ada pihak berwajib fokus kepada isu untuk menyelamatkan pusat tahfiz ini dan tidak perlu menghabiskan masa menuding jari antara satu sama lain.
“Ia bagi menyelesaikan masalah dihadapi pusat tahfiz kerana pada saya itu yang penting dan terbaik dalam memikirkan nasib pekerja dan pelajar tahfiz itu sendiri,” katanya ketika ditemui sempena sambutan Aidilfitri anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di sini, semalam.
Turut hadir, Yang Dipertua YADIM Dr Yusri Mohamad.
Berhubung cadangan pihak tertentu supaya institusi tahfiz di negara ini dimansuhkan, Mahmud Hishamuddin
>>Tidak mampu biayai kos keseluruhan unit tahfiz RM150,000 sebulan
berkata, masalah dan kelemahan yang dihadapi pusat tahfiz boleh diperbaiki dan ditambah baik.
“Di saat masyarakat kita menghadapi krisis akhlak dan moral, tidak sepatutnya kenyataan seperti itu dikeluarkan.
“Bagi saya, mereka melihat kepada aspek luaran saja dan bukan dalaman apa yang dihadapi pusat tahfiz,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin, baru-baru ini menyarankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa supaya menutup sekolah tahfiz sebagai usaha membawa keluar umat Islam daripada ‘amalan agama jumud’.
Zainuddin dalam blognya berkata, langkah itu mesti diambil kerana semua sekolah tahfiz di negara ini dilihat tidak memberikan harapan masa depan kepada generasi baru Islam.