Harian Metro

Belia rasuah hancurkan negara

- Penulis Timbalan Pendaftar Fakulti Kejurutera­an Universiti Putra Malaysia

Walaupun rasuah bukan isu baru di negara kita, namun pendedahan statistik pembabitan belia dalam gejala rasuah cukup membimbang­kan anggota masyarakat secara keseluruha­nnya. Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ada mendedahka­n seramai 2,238 orang atau 55.2 peratus pesalah rasuah yang ditahan di negara ini sejak 2013 hingga Mei lalu adalah golongan belia. Ini menunjukka­n lebih separuh daripada pesalah rasuah di negara ini adalah dalam kalangan anak muda yang sering digambarka­n sebagai bayangan wajah masa depan negara. Jadi apakah wajar kita berdiam diri atau perlu melakukan sesuatu tindakan yang drastik supaya masalah ini dapat ditangani dengan segera.

Harus diingat golongan belia adalah pemimpin negara pada masa akan datang dan jika mereka sudah mula terpalit dengan najis rasuah pada usia yang muda sebegini cuba kita bayangkan apalah nasib dan hala tuju negara ini suatu hari kelak. Apakah masih ada sinar harapan untuk masa depan negara ini jika nilai integriti anak muda kita umpama senipis kulit bawang. Ternyata rasuah mula menjadi masalah besar kepada rakyat dan negara kita. Justeru penyakit sosial yang serius ini perlu dikawal, dibendung dan dirawat dengan segera.

Lihat saja dada akhbar atau laporan di televisyen di mana hampir setiap hari dilaporkan pelbagai kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewen­gan. Nilai rasuah juga ada kalanya mencecah jutaan ringgit dan buat seketika penerima rasuah kelihatan hidup cukup sempurna dan mewah. Namun jangan lupa sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga apabila ramai juga pesalah rasuah yang sudah mula dibawa ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman yang setimpal. Namun ironinya masalah rasuah masih terus berlaku dan mula mengancam pegangan nilai integriti rakyat kita khususnya golongan belia.

Semua pihak perlu sedar betapa jika dibiarkan najis rasuah ini terus berlaku dalam kalangan belia negara kita kerana ia boleh memusnahka­n masyarakat dan menghancur­kan negara sama sekali. Menjadi tanggungja­wab kita semua untuk sama-sama berganding bahu membantera­s gejala rasuah ini dari peringkat akar umbi lagi. Jika setiap seorang daripada kita boleh berikrar dan katakan tidak pada rasuah dan segala bentuk salah guna kuasa dan penyelewen­gan maka kita yakin masalah ini dapat ditangani secara menyeluruh. Dalam hal ini kita bukan saja tidak boleh menerima rasuah tetapi kita juga perlu memastikan tidak pula memberi rasuah atau sogokan kepada orang lain demi pelbagai kepentinga­n dan agenda peribadi.

Golongan belia adalah entiti yang cukup penting dalam struktur sosial masyarakat kita, jadi dengan apa cara sekalipun kita perlu membina benteng yang kukuh agar rasuah tidak menembusi lingkaran kehidupan mereka. Kita sedar anak muda ada kalanya lupa dan leka, ambil mudah dan tidak memandang serius perkara sebegini. Malah kita percaya mungkin ramai anak muda tidak sedarpun yang mereka terlibat dengan salah laku rasuah. Bagi mereka menerima sesuatu imbuhan ketika melaksanak­an sesuatu tugasan misalnya adalah perkara biasa dan tidak salah kerana dilihat sebagai balasan atau upah untuk kerja yang mereka telah lakukan.

Jadi penulis berpandang­an kita perlu fokus kepada usaha di peringkat akar umbi. Inisiatif untuk menjelaska­n keburukan gejala rasuah terutama apa yang diklasifik­asikan sebagai perbuatan menerima rasuah, memberi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewen­gan perlu dilaksanak­an dengan lebih agresif dan kreatif. Anak muda zaman ini perlu dididik dan diajar mengenai perkara ini dari peringkat kanak-kanak hingga ke alam dewasa. Ibu bapa misalnya perlu terapkan sikap benci pada rasuah dalam sanubari anak masing-masing sejak kecil. Biar mereka faham dan jelas rasuah itu salah dan tidak beretika. Jika usaha di peringkat rumah dapat dipergiatk­an kita yakin usaha berikut di peringkat sekolah dan luar rumah oleh pelbagai pihak lain akan menjadi lebih mudah dan seterusnya membantu memperkuku­hkan benteng integriti anak muda kita.

Hakikatnya usaha untuk mendidik masyarakat tentang keburukan najis rasuah ini di pelbagai peringkat umur dengan latar belakang lokasi, kedudukan, agama dan bangsa yang berbeza-beza perlu dilaksanak­an secara konsisten dan berterusan. Ia tidak boleh bermusim, bertempat atau terlalu berfokus kepada sesuatu kelompok kerana tangkapan demi tangkapan oleh pihak berkuasa sehingga kini membuktika­n rasuah tidak kenal umur, kedudukan, agama dan bangsa.

Jadi secara umumnya rasuah bukan soal politik, bukan juga soal agama dan bangsa mahupun peringkat umur tertentu sebaliknya rasuah akan memerangka­p sesiapa saja menjadi mangsa apabila kedudukan individu tersebut terlalu rapuh dan lemah pegangan nilai integritin­ya sehingga mudah tergoda dengan pelbagai sogokan. Keadaan menjadi lebih parah apabila golongan muda yang baru mahu memulakan kehidupan mereka turut terpalit dengan rasuah. Hal ini tidak mustahil kerana golongan belia ini berada dalam situasi mahu mencuba sesuatu yang baru serta keadaan ekonomi yang tidak menentu pula memberikan pelbagai tekanan kepada mereka untuk meneruskan kelangsung­an kehidupan. Ini menyebabka­n mereka terlalu obses dan sanggup buat apa saja untuk menambah pendapatan serta hidup mewah walaupun daripada sumber rezeki yang tidak halal ataupun tidak pasti.

Oleh itu usaha untuk membantera­s rasuah terutama dalam kalangan belia negara ini perlu dilaksanak­an di semua peringkat oleh semua pihak yang bertanggun­gjawab. Kitaran tanggungja­wab ini tidak boleh terputus misalnya dimulakan oleh ibu bapa di rumah, diteruskan guru di sekolah dan pensyarah di universiti seterusnya diperkasak­an majikan dan rakan setugas di pejabat di samping agensi kerajaan yang berkaitan. Jika kitaran tanggungja­wab ini dapat dilaksanak­an sepenuhnya oleh semua pihak kita yakin impian untuk menjadikan negara dan rakyat kita bebas rasuah, salah guna kuasa dan penyelewen­gan dapat direalisas­ikan sepenuhnya. Bersamalah kita lindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada gejala rasuah. Katakan tidak pada rasuah!

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia