‘Saya pun tak pernah dengar’
Jho Low ada pasport St Kitts and Nevis dipercayai digunakan untuk melarikan diri
“Saya sendiri tidak pernah mendengar nama negara berkenaan (Saint Kitts dan Nevis). Saya cuba mencari maklumat mengenai tempat itu dan ia sebenar- nya sebuah pulau yang mempunyai pemandangan cantik,” kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.
Menurutnya, ahli perniagaan diburu polis, Low Taek Jho atau Jho Low berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didapati memiliki pasport antarabangsa negara Saint Kitts dan Nevis bagi melarikan diri daripada pihak berkuasa.
“Jho Low memiliki pasport dari St Kitts and Nevis ... itu pasport (negara) lain yang dimilikinya.
“Kami percaya dia menggunakan pasport itu untuk memudahkan pergerakannya. Setakat itu yang boleh saya katakan,” katanya ketika ditemui di Menara Ilham di sini, semalam.
St Kitts dan Nevis ialah negara kecil di kepulauan Caribbean terletak di antara Barbados dan Puerto Rico serta menjadi lokasi pembeli pasport.
Dengan harga AS$250,000 (RM1 juta), warga asing boleh membeli kewarganegaraan tanpa perlu tinggal di negara berkenaan.
Kerakyatan diperoleh itu sebagai balasan untuk pelaburan hartanah sekurang-kurangnya AS$400,000 atau sumbangan sekurang-kurangnya AS$250,000 kepada dana industri negara itu.