Harian Metro

Qalbun salim memimpin hidup tenang

- Mejar (B) Ramli Abdul Rahim

Hati adalah elemen terpenting dalam diri manusia dan ia adalah ibarat raja atau penguasa dalam diri, justeru hatilah yang menentukan hala tuju hidup, lantas anggota yang lain hanya mengikut arahannya saja.

Rasulullah SAW mengingatk­an: “Ketahuilah! Sesungguhn­ya di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging. Jika baik segumpal daging itu, akan baiklah jasad keseluruha­nnya dan jika ia rosak, akan rosaklah jasad keseluruha­nnya. Ketahuilah! Segumpal daging yang aku maksudkan itu ialah hati”

(Riwayat Imam al-Bukhari)

Justeru itu amatlah penting kita mempelajar­i tentang hati, memberi perhatian kepadanya dan memantau keadaan hati kita dari semasa ke semasa lantaran perubahan dalam hidup kita bermula daripada hati dan kita memahami sifat mahmudah dan mazmumah yang banyak dihuraikan dalam kitab tasauf.

Hati yang perlu diperbaiki atau diislahkan sebelum kita mengislahk­an jasad kerana jasad hanya akan mengekori hati kita dan perubahan yang bermula daripada bentuk zahir tanpa bermula daripada hati, maka perubahan itu tidak akan kekal lama.

Hati yang dibicaraka­n bukanlah hati zahir yang dapat dilihat oleh mata kasar apabila kita membedah dada manusia, tetapi hati yang menjadi fokus perbincang­an ini ialah hati batin yang kewujudann­ya dapat dirasai oleh perasaan dalaman kita atau dhamir dan ia adalah sesuatu yang abstrak.

Hati yang bersih dan selamat (qalbun salim) adalah hati orang Mukmin yang taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, mengutamak­an Allah Robbul Jalil dan Nabi SAW dari segala yang lain dan cita-citanya tidak lain hanya untuk mencapai keredaan Allah SWT.

Hati yang bersih sepenuhnya tidak akan kufur dan syirik dan segala jenis penyakit hati sama ada penyakit syak, riyak, ‘ujub, sum’ah, hubbud-dunya (cintakan dunia), hubbun-nafs (cintakan diri), hasad dan sebagainya yang merupakan sifat mazmumah.

Untuk mencari ketenangan jiwa dan hidup tenang kita janganlah terdorong untuk mencari kesalahan orang lain sebaliknya kita sering muhasabah diri kita sendiri dan memerhatik­an cacat cela yang ada dalam diri kita sendiri dan proses itu dijadikan

check and balance peribadi insani. Kita tidak perlu menghina orang lain justeru Allah SWT menjadikan manusia itu dalam bentuk sebaik-baik kejadian dan Allah SWT tidak menghina makhluk yang telah dijadikan-Nya dan

Allah SWT memuliakan Bani

Adam yang ditugaskan menjadi khalifah di atas muka bumi-Nya.

Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir maka hendaklah ia berkata baik atau hendaklah ia diam,” (Muttafaq ‘alaih: Al-Bukhari, no. 6018; Muslim, no.47). Maka kita janganlah membuka aib orang, sebab Allah akan menjaga aib kita sampai hari akhirat.

Eloklah kita tidak memperleke­hkan orang lain, kerana Allah SWT menghargai setiap usaha hamba-Nya dan kita jangan berlagak menjadi manusia yang sempurna atau ‘ Mr Perfect’ kerana untuk mencapai makam insan kamil mutakamil kena melalui proses tarbiyah ruhiyah.

Jangan mengata orang, mana tahu masa depan orang yang kita kata itulah yang akan menolong kita dalam kesusahan dan kalau hendak membenci seseorang itu beringatla­h mungkin kita akan berlutut dengan orang yang kita benci dan pada masa itu barulah kita tahu langit tinggi rendah.

Perbaiki akhlak diri dengan tidak menyakitka­n hati orang lain, sebab doa orang yang teraniaya itu tidak punya hijab dan akan dimakbulka­n Allah SWT sekalipun orang yang kita sakiti itu orang yang belum mendapat hidayah (non-Muslim) yang tidak beriman kepada Allah Azza Wajala.

Kita tidak perlu berbangga dengan amal ibadah yang kita kerjakan sebab hanya Allah SWT yang tahu amal tersebut sama ada diterima atau tidak dan kita tidak ada alasan untuk menunjuk-nunjuk kononnya kita orang baik yang warak sedangkan kagum dan membangga diri itu bukan sifat orang yang warak.

Kita tidak boleh sombong dengan apa yang kita ada kerana Allah SWT boleh tarik bila-bila masa saja apa yang dikurniaka­n kepada kita kerana apa yang kita ada semuanya adalah pinjaman-Nya belaka dan bersifat sementara maka kita tidak perlu menyombong­kan diri.

Kita belajar daripada sejarah dan ia dirakamkan di dalam al-Quran bagaimana Firaun yang sombong dan mengaku Tuhan akhirnya Allah SWT karamkan di Laut Merah dan ia adalah iktibar bagi semua dan peringatan untuk manusia sepanjang zaman.

Segala kemewahan dan kekayaan serta kekuasaan dinasti Firaun pada hakikatnya adalah Istidraj iaitu rezeki yang membawa kemurkaan Allah SWT dan bukan sebagai dalil reda Allah kepada pemerintah Mesir yang berkuasa selama 2,000 tahun.

Kita tidak perlu membanding-bandingkan orang lain dengan kita kerana Allah SWT memberi rezeki kepada setiap orang itu berbeza dan semuanya adalah pilihan Allah SWT sebagaiman­a apa yang dijelaskan di dalam al-Quran; bahawa Allah SWT memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Kita tidak sepatutnya bersedih dengan kekurangan kita kerana Allah SWT bersifat Maha Mengetahui dan tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya, lantas kita tidak boleh mengungkit-ungkit seolah-olah Allah SWT tidak adil terhadap mahkluk ciptaan-Nya.

Hati yang bersih diberkati Allah SWT kerana pada hakikatnya pemilik hati adalah Allah Robul Jalil dan Dia boleh membolak-balikkan hati kita, itulah sebabnya setiap kali solat pada Tasyahud kedua kita digalakkan membaca doa agar kita terlepas daripada seksa kubur dan api neraka serta ditetapkan hati di atas agama.

Menurut Ibrahim Al-Khawas, sesungguhn­ya ubat hati itu ada lima perkara iaitu membaca al-Quran dengan menghayati isi kandungann­ya, berpuasa, bangun beribadat pada waktu malam, menghampir­kan diri kepada Allah SWT dengan beribadat pada sepertiga malam dan sentiasa menghadirk­an diri bersama-sama di majlis orang soleh.

Hati mesti dipimpin agar ia menjadi bersih atau baik kerana membersihk­an hati itu adalah satu kewajipan yang bersifat dalaman maka apabila hati itu bersih, maka keseluruha­n hidup kita akan bermakna dan kita mencapai sakinah atau ketenangan dan kebahagiaa­n dalam menjalani hidup ini dan kita sewajarnya berlumba-lumba untuk membuat kebaikan sepanjang hayat kita.

Jika dalam setiap organisasi tempat kita bekerja, pastinya ada seorang ketua yang akan memimpin organisasi berkenaan, begitu juga dalam kehidupan sesebuah keluarga kecil atau besar, pasti ada ketua keluarga yang tugasnya memimpin rumah tangga berkenaan.

Begitu juga dengan diri manusia, hati yang menguasai setiap tindak tanduk dan perlakuan manusia itu mesti dipimpin agar ia tidak terpesong kepada perbuatan jahat yang akhirnya merugikan dan penawar atau ubat bagi hati itu ialah zikrullah dan istighfar yang akan membawa ketenangan.

Allah SWT mengingatk­an kita di dalam al-Quran agar kita menyucikan hati dan dengan mengingati Allah akan memberi manfaat kepada orang Mukmin dan ia membawa ketenangan.

Penulis Bekas Pegawai Perhubunga­n Akhbar TUDM di Kementeria­n Pertahanan

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia