Harian Metro

‘Kita perlukan wakil rakyat yang boleh wakili suara rakyat’

-

Shah Alam: Menjelang penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, rata-rata penduduk dan pengundi mengingink­an calon yang dekat dengan rakyat di kawasan berkenaan.

Ahli jentera PKR, Saribanon Saibon berkata, selain beliau dan rakan jentera Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), akar umbi juga menolak calon dari luar.

“Saya dan kawan-kawan yang terbabit dalam jentera PRU14 dalam beberapa pertemuan sebulat suara menolak calon dari luar. Begitu juga suara akar umbi rakyat, menolak calon luar.

“Kita perlukan wakil rakyat yang boleh mewakili suara rakyat, kepentinga­n, keperluan rakyat setempat...dan yang memahami ini adalah calon dari penduduk tempatan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa penduduk dan pengundi kawasan berkenaan menolak calon PKR yang bukan terdiri daripada orang tempatan untuk diletakkan pada PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos depan.

Saribanon berkata, hanya calon tempatan yang layak dan berkaliber untuk meneruskan segala usaha dan kerja yang dilaksanak­an wakil rakyat terdahulu, Allahyarha­m Mat Shuhaimi Shafiei.

Katanya, penduduk dan pengundi juga memerlukan calon tempatan yang merendah diri, sedia mendengar, bekerja dan berkhidmat untuk rakyat, tanpa mengira kaum.

Pada masa sama, katanya, calon anak tempatan lebih wajar diletakkan bagi mempertaha­nkan kerusi PKR kerana individu itu tahu kekuatan serta kelemahan di kawasan berkenaan.

Katanya, calon berkenaan perlu disenangi Jawatankua­sa masjid dan surau, boleh bersama-sama dengan anak muda dan belia selain disenangi setiap golongan.

“Individu itu juga perlukan seseorang yang boleh turun ke pasar bersama peniaga, kalau ada kematian atau kematian, beliau turun menjenguk, bersama-sama meraikan kenduri kendara selain tidak kekok untuk bersembang walaupun di kedai kopi, sebab itu kami menolak calon dari luar.

“Tambahan pula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N49 adalah kawasan persempada­nan baharu Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) serta ia amat memerlukan tumpuan dan perhatian sepenuhnya daripada pemimpin,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia