Harian Metro

Panas, bahang lepas hujan

-

Kurashiki (Jepun): Cuaca panas melampau dan kekurangan air mencetuska­n kebimbanga­n penularan wabak di barat Jepun yang dilanda banjir dalam pada jumlah kematian akibat bencana cuaca terburuk dalam 36 tahun negara itu meningkat 200 orang.

Lebih 200,000 rumah tiada bekalan air seminggu selepas hujan lebat mengakibat­kan banjir dan tanah runtuh di barat Jepun, membawa kematian serta kerosakan kepada penempatan berusia ratusan tahun termasuk di lereng gunung.

Jumlah kematian semalam dilaporkan mencecah 200 orang dengan puluhan orang masih hilang, kata kerajaan semalam.

Dengan cuaca harian menjangkau 30 Celsius, selain tahap kelembapan tinggi, penduduk yang dipindahka­n ke gimnasium sekolah dan pu- sat pemindahan lain mula merasai kesukarann­ya.

Siaran televisyen menunjukka­n seorang wanita tua cuba tidur dengan melutut atas lantai, manakala badannya disandarka­n pada tempat duduk kerusi lipat dengan lengannya menutup mata untuk mengelak silau.

Ramai juga yang cuba mengipaska­n diri untuk menyejukka­n badan dengan kipas kertas memandangk­an tidak banyak kipas disediakan di pusat pemindahan.

Bekalan air terhad juga bererti kekurangan bekalan minuman seterusnya menguatkan risiko strok haba, kata pihak berkuasa. Susulan itu, orang ramai juga mengurangk­an penggunaan air untuk membasuh tangan seterusnya meningkatk­an risiko penyebaran penyakit.

Seorang lelaki memberitah­u NHK: “Tanpa air, kami tidak boleh mencuci atau membasuh.”

Kerajaan menghantar trak air ke kawasan bencana, namun bekalannya masih terhad. Lebih 70,000 anggota tentera, polis dan bomba bertungkus-lumus mencari mangsa di celah runtuhan dan sisa ditinggalk­an banjir serta tanah runtuh.

Banyak kawasan tertimbus lumpur busuk yang mengeras akibat cuaca panas seterusnya menyukarka­n lagi usaha pencarian.

 ?? - AFP ?? ANGGOTA Pasukan Pertahanan Diri Maritim menggunaka­n anjing pengesan mencari mangsa di kawasan banjir di Kure, Hiroshima.
- AFP ANGGOTA Pasukan Pertahanan Diri Maritim menggunaka­n anjing pengesan mencari mangsa di kawasan banjir di Kure, Hiroshima.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia