166 kaki judi tidur lokap
Mahu kaya cepat, namun kini meringkuk di dalam lokap. Itu nasib 166 kaki judi bola sepak yang diberkas polis kerana terbabit pertaruhan haram sepanjang perlawanan Piala Dunia 2018 lalu.
Mereka dikesan menguruskan wang pertaruhan hingga mencecah RM5 juta sebelum diberkas dalam Ops Soga 7 sejak awal Jun lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya membuat 159 serbuan di sekitar ibu kota sejak pusingan pertama perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 hingga perlawanan akhir kejohanan berkenaan Ahad lalu.
“Hasilnya seramai 166 individu berusia 18 hingga 65 tahun yang bertindak sebagai pemain dan penganjur pertaruhan haram ditahan.
“Polis merampas 168 telefon pintar, lima set komputer, tiga komputer riba, dua unit tablet dan sekeping kertas pertaruhan serta wang tunai RM8,339,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati sindiket beroperasi menggunakan aplikasi media sosial dan turut mempromosikan perjudian itu di media sosial bagi menarik pelanggan.
“Pelanggan yang berminat diminta memasukkan wang ke dalam akaun disediakan dan memaklumkan penganjur nilai pertaruhan dimahukan bagi setiap perlawanan,” katanya.
Beliau berkata, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) , Seksyen 6 (1) dan Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953 atas kesalahan mengurus tempat pertaruhan, menerima wang pertaruhan serta bertindak sebagai bookie.