Buru mata maksimum
Tok Gajah mahu jadikan Melaka mangsa, idam tamat kedua terbaik liga
ini sebagai permulaan misi itu.
Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, sasaran itu untuk memastikan skuad kendalian Dollah Salleh menamatkan kempen liga di tangga kedua.
“Kita akan mulakan dengan sasaran tiga mata bertemu Melaka malam esok (malam ini), diikuti pertemuan dengan PKNS pada 21 Julai ini dan Kelantan (29 Julai).
“Ini kerana Perak, Kedah dan Terengganu turut bersaing dan menyasarkan kedudukan kedua sebagai penamat terbaik buat pasukan masing-masing.
“Oleh itu, saya mengharapkan semua pemain dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka selepas hanya seri dengan Perak dan PKNP FC,” katanya.
Ditanya peluang Pahang untuk mengecewakan Melaka United malam ini, Mohammed Suffian berkata, skuad itu tidak boleh memberi ruang kepada tuan rumah.
Katanya, peningkatan prestasi yang dipamerkan skuad kendalian E Elavarasan dalam beberapa perlawanan termasuk menang 4-1 ke atas Kedah di laman sendiri menuntut Pahang lebih berwaspada.
“Rekod Melaka United di Stadium Hang Jebat cukup baik dan sudah pasti Pahang perlu lebih bersedia untuk mengekang percaturan lawan.
“Biarpun tanpa dua pemain pertahanan, Muslim Ahmad dan Mohd Faisal Rosli yang masih lagi belum pulih daripada kecederaan, saya percaya Pahang akan membawa pulang tiga mata,” katanya.