Selamat rumpai laut
Perlu kilang berskala besar penuhi permintaan dunia
Langkah pembangunan signifikan diperlukan bagi menyelamatkan industri rumpai laut di Sabah yang semakin merosot sejak tiga tahun lalu susulan ketidakstabilan harga hasil laut itu.
Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Dr Daud Yusuf berkata, kekurangan kilang pemprosesan berskala besar dan kaedah penanaman rumpai laut yang tidak konvensional menjadi punca masalah itu.
Katanya, beliau difahamkan, hanya sebuah kilang beroperasi ketika ini berbanding tiga sebelumnya menyebabkan operasi memproses rumpai laut terhad dan tidak mampu memenuhi permintaan dunia.
“Saya khuatir ia menjatuhkan industri ini hingga menjejaskan pendapatan ribuan pengusaha di Semporna, Kunak, Tawau dan Lahad Datu yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan miskin.
“Ia kerugian besar kerana industri ini berpotensi dikembangkan secara komersial memandangkan kualiti rumpai laut kita adalah terbaik dan mendapat permintaan besar pasaran dunia,” katanya selepas melawat beberapa projek tanaman rumpai laut di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Dr Daud berkata, satu pelan pembangunan drastik perlu dirangka membabitkan kaedah konvensional serta teknologi baru bagi penanaman rumpai laut dan kilang pemprosesan untuk tujuan eksport.
Katanya, kilang pemprosesan berskala besar dan canggih perlu disokong serta dibantu kerajaan kerana industri itu berpotensi menjadi penyumbang utama ekonomi Sabah pada masa depan.
“Aspek pengilangan dan penanaman berperanan penting dalam rantaian berterusan industri ini kerana tanpa kedua-duanya, ekosistem pembangunan bidang rumpai laut sukar direalisasi.
“Justeru, saya akan bawa perkara ini ke peringkat kementerian dan Ketua Menteri supaya pembangunan industri rumpai laut dapat berkembang pe- sat, sekali gus menjana ekonomi rakyat dan negeri ini,” katanya.
Dr Daud turut melawat kilang pemprosesan rumpai laut Lucky Frontier Sdn Bhd iaitu kilang terbesar di Malaysia terletak di Kampung Kunak Jaya, Kunak.
Sementara itu, Pengarah Urusan Lucky Frontier Sdn Bhd, Kiung Ted Min berkata, operasi kilang itu terpaksa dihentikan sejak empat tahun lalu, antara lain atas faktor keselamatan, sekali gus menjejaskan lebih 6,000 pengusaha rumpai laut yang menjadi pembekal utamanya.