Harian Metro

SAKAGUCHI JADI NUR SHAFIRA

- Ainal Marhaton Abd Ghani cnews@nstp.com.my

Kegemarann­ya melancong mendorong seorang warga Jepun berkelana ke pelbagai negara sebelum mengambil keputusan menetap di Malaysia 13 tahun lalu.

Malah, Sakaguchi Kotoka, 41, menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua selepas negara kelahirann­ya, Jepun dan cukup selesa dengan suasana harmoni dan sikap ramah masyarakat berbilang bangsa serta agama.

Kecintaann­ya terhadap negara ini mendorong wanita berasal dari Fukuoka itu memilih pasangan hidup dalam kalangan pemuda tempatan beragama Islam dan sudah 16 tahun berumah tangga.

Memilih nama Nur Shafira Abdullah, dia bersetuju menjadi suri hati Mohd Yusazli Mohd Yaziz, 45, selepas memeluk Islam pada 2002 dan sejak itu lebih selesa menjalani kehidupan bersama keluarga suaminya di sini.

Pasangan itu dikurniaka­n anak lelaki bernama Iwan yang kini berusia 14 tahun dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (SMART), di sini.

Nur Shafira berkata, Iwan dilahirkan di Jepun pada 2004 apabila mereka menetap di negara matahari terbit itu selama tiga tahun sebelum kembali semula ke Malaysia pada 2005.

Kata anak bongsu daripada dua beradik itu, dia mengenali Malaysia selepas melancong di Pulau Tioman yang ditemui menerusi laman web selepas mengembara di Thailand.

“Pulau Tioman cantik, air jernih, pulau kecil dipenuhi pelbagai spesies hidupan marin dan terumbu karang manakala pantainya bersih. “Saya jatuh cinta dengan keindahan alam semula jadinya hingga kepada orang di sini,” katanya yang tinggal di Indera Mahkota 2, di sini.

Nur Shafira mengakui suasana di sini secara tidak langsung mengubat kerinduann­ya terhadap keluarga di Jepun.

Fasih berbahasa Melayu, wanita itu kini menjalani kehidupan seperti orang tempatan dan menjual minuman susu kultur secara bergerak di sekitar Kampung Tengah, Kampung Baru, Bukit Setongkol dan Cenderawas­ih di sini.

Katanya, penerimaan masyarakat terhadapny­a membuatkan dia selesa di sini, walaupun belum boleh menyesuaik­an diri dengan masakan pedas.

“Masakan manis dan berlemak boleh makan tetapi tekak saya masih tidak boleh terima masakan pedas seperti kari, asam pedas, sambal tumis atau masakan yang bercili kecuali serunding daging.

“Setiap kali sambutan Aidilfitri, saya menyediaka­n serunding daging dan makanan Jepun seperti Gyoza untuk dinikmati tetamu yang berkunjung ke rumah,” katanya yang pulang ke Jepun empat tahun sekali.

Wanita Jepun tertarik dengan Malaysia pilih berumah tangga dengan lelaki tempatan

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia