Harian Metro

Guardiola gelisah tunggu kepulangan bintang

-

Chicago, Amerika Syarikat: Pep Guardiola bimbang persiapan Manchester City mempertaha­nkan gelaran Liga Perdana Inggeris terganggu disebabkan Piala Dunia.

City ke Amerika Syarikat untuk pertemuan menentang Borussia Dortmund, Liverpool dan Bayern Munich dengan skuadnya terdiri daripada pemain muda, manakala yang lain menyambung cuti selepas kejayaan di Russia.

Bintang kesebelasa­n utama seperti Kevin De Bruyne, Sergio Aguero, Vincent Kompany, Ederson, David Silva, Gabriel Jesus, Raheem Sterling, Kyle Walker dan John Stones tidak menyertai aksi pramusim pada saingan tahunan Piala Juara Antarabang­sa dan dijangka hanya akan pulang seminggu sebelum bermula saingan domestik di England.

Guardiola juga mengalami masalah dalam perpindaha­n pemain musim panas ini dengan pemain tengah Napoli, Jorginho mengikut jejak langkah pengurus Maurizio Sarri ke Chelsea.

Selain itu, pemain Leicester, Riyad Mahrez juga dibeli dengan harga £60 juta (RM317.6 juta) dengan pengendali dari Sepanyol itu mahu memulakan musim dengan skuad yang sama.

Ia jauh daripada selesa, namun Guardiola tidak akan memaksa pemain kembali hanya untuk kejohanan itu.

“Itulah yang perlu dilalui,” kata pengendali dari Sepanyol itu.

“Kami berbincang – mereka perlu bersedia untuk pulang. Jika sehari sebelum itu mereka keletihan dan mereka tidak mahu bermain dalam aksi Perisai Komuniti menentang Arsenal, mereka akan terus bercuti.

“Kami tidak boleh lupa apa yang sudah dilakukan dan kami perlu bermula kembali. Jika mereka bersedia, mereka akan membantu kami dan jika tidak, kami akan menanti mereka. Jika mereka tidak bersedia mental dan fizikal mereka tidak akan kembali.

“Ia sesuatu yang bagus bekerjasam­a dengan pemain akademi sejak beberapa hari lalu.” - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia