Pertukaran jurulatih terlalu drastik
Isu pertukaran jurulatih sememangnya adalah normal dalam dunia sukan, tetapi ada juga yang agak mengejutkan.
Terbaru, saya agak terkejut dengan keputusan Jawatankuasa Kejurulatihan & Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang melantik Paulus Firman sebagai ketua jurulatih beregu lelaki negara.
Hanya selepas tiga bulan kembali ke pangkuan BAM, Paulus sudah diberi tanggungjawab besar menggantikan Cheah Soon Kit (gambar) yang bertukar tugas selaku jurulatih bawah 21 tahun.
Seakan ada yang tidak kena apabila perubahan ini dilihat begitu drastik menjelang saingan Sukan Asia di Jakarta, bulan depan.
Namun Pengerusi Jawatankuasa C&T, Datuk Ng Chin Chai menegaskan ia adalah perkara normal.
Bagi saya, walaupun apa saja yang berlaku di dalam BAM, setiap pemain perlu memberikan komitmen sepenuhnya ketika sesi latihan atau turun beraksi.
Sebab kalau perkara asas itu tiada, maka datang walau sehebat mana sekali pun jurulatih, mereka tidak akan mampu untuk membawa perubahan.
Saya lihat itulah kekurangan beregu negara ketika ini. Mereka seakan tidak mempunyai keinginan tinggi untuk mencapai sesuatu yang lebih baik.
Apapun, Biarlah pelantikan Paulus dilihat daripada sudut positif. Beri ruang dan peluang kepadanya untuk membuktikan bahawa sentuhannya juga mungkin lebih baik berbanding Soon Kit.
Bukan saya kata Soon Kit tidak bagus, namun mungkin dia lebih baik membimbing barisan pemain muda untuk diketengahkan ke dalam skuad senior.
Dalam acara beregu agak berbeza berbanding perseorangan.
Sejak dulu lagi, konflik akan sentiasa berlaku antara pemain dan jurulatih. Di sinilah perlunya seorang jurulatih yang mampu untuk mengawal situasi.
Jika tidak, perkara sama akan berulang dan terus berulang.
Harap Paulus ada magis dalam menangani semua perkara ini.
Jumpa lagi.
bersama Datuk Seri Jalani Sidek
DROP SHOT
METRO
AHAD