Sarri langkah kanan
Perth, Australia: Pengurus baru Chelsea, Maurizio Sarri menghadiahkan kemenangan pertama selepas jaringan awal Pedro Rodriguez membolehkan Blues menewaskan Perth Glory 1-0 dalam aksi persahabatan di Australia, kelmarin.
Bekas penyerang Barcelona itu menolak bola masuk dari jarak dekat selepas mendapat hantaran pemain berusia 17 tahun, Callum Hudson-Odoi. Hudson-Odoi seorang daripada tiga pemain remaja yang beraksi dalam perlawanan itu bersama penjaga gol dari Poland, Marcin Bulka, 18, dan pertahanan Wales, Ethan Ampadu, 17.
Pemain tengah baru dibeli, Jorginho turut melakukan penampilan pertama menentang kelab Liga A-Australia itu. Jorginho dibeli dari Napoli dengan harga £50 juta (RM266 juta) dan pemain Itali itu mempamerkan prestasi mantap dalam perlawanan pertama pramusim Chelsea.
David Luiz dilayangkan kad kuning selepas melakukan terjahan keras pada lewat babak pertama sebelum voli Pedro diselamatkan penjaga gol tuan rumah.
Sarri yang menggantikan rakan senegara dari Itali, Antonio Conte awal bulan lalu mengakui Chelsea perlu memperbaiki beberapa aspek permainan sebelum bermula musim baru.
“Kami hilang kawalan dan jarak antara pertahanan dan tengah dan itu perlu diperbaiki,” katanya.
“Kami perlu kembali ke Cobham, bekerja lebih keras dan masalah itu perlu diatasi secepat mungkin. Bagaimanapun ia tidak mudah kerana skuad kini tanpa 12 pemain yang beraksi di Piala Dunia.” - Agensi