Harian Metro

Etika hakim mengikut Islam

- Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang

Istilah kehakiman dalam Islam dikenali sebagai al-Qada. Pada umumnya, al-Qada’ adalah sebuah institusi penyelesai­an pertikaian di antara pihak yang bertikai dengan suatu hukuman yang mengikat. Perkataan lain yang ada kaitan dengan al-Qada’ ialah hakama, yahkumu, hukman dan dalam bahasa Melayu disebut sebagai hukum.

Perkataan ini juga diulang beberapa kali dalam al-Quran dan hadis. Di antaranya firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 58 yang bermaksud: “dan apabila kamu menjalanka­n hukum di antara manusia (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.”

Institusi kehakiman sudah wujud sejak zaman jahiliyah walaupun bukan dalam bentuk yang formal atau tersusun namun ia menjadi tempat rujukan dalam menyelesai­kan pertikaian. Mulai zaman Rasulullah SAW, institusi kehakiman Islam mula berkembang dan hingga ke era Khulafa’ ar-Rashidin, pembanguna­n badan kehakiman terus dilakukan. Pada era Khalifah Ali bin Abi Talib pula mula dibangunka­n kod etika hakim atau adab al-Qada’.

Di Malaysia, seorang qadi lebih dikenali sebagai Hakim Syarie. Pelantikan seorang Hakim Syarie dibuat berdasarka­n peruntukan undang-undang di bawah Enakmen Pentadbira­n Agama Islam Negeri. Walaupun dipanggil dengan nama lain, sebagai seorang Hakim Syarie masih terikat dengan adab al-qadi.

Adab bermaksud akhlak atau etika yang menunjukka­n keadaan tingkah laku, disiplin, minda dan budi dalam tindakan kehidupan seseorang yang dilantik dalam sesuatu bidang atau profesyen. Manakala adab al-qadi adalah etika, disiplin dan tingkah laku bagi seseorang hakim syarie dalam menjalanka­n tugas, baik dalam mahkamah mahupun di luar mahkamah mengikut syariat Islam. Ia adalah bagi memelihara integriti jawatan berkenaan, institusi kehakiman serta kepatuhan terhadap pelaksanaa­n keputusan yang dibuat.

Imam al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyya­h menyatakan bahawa ulama fiqh telah menentukan beberapa kelayakan yang diperlukan bagi pelantikan ke jawatan hakim iaitu Islam, baligh, berakal, lelaki, merdeka, adil, baik pandangan, penglihata­n dan pertuturan, berpendidi­kan dan mempunyai pengetahua­n tentang hukum syarak.

Jumhur ulama berpendapa­t sifat adil adalah syarat kepada mereka yang dilantik menjadi hakim. Yang dimaksudka­n dengan adil ialah tidak melakukan dosa kecil serta menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh menjejaska­n maruah mereka.

Adil menurut al-Mawardi ialah seorang yang bercakap benar, jelas amanah, bersih daripada perkara yang haram dan dosa, jauh daripada sifat yang meragukan, tidak suka berjenaka, menjaga maruah dalam urusan agama dan dunia, di percayai dalam keadaan gembira dan marah. Adil juga bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Mazhab Hanafi menyatakan bahawa adil menjadi syarat kesempurna­an atau pelengkap bagi pelantikan seseorang Hakim Syarie.

Seorang hakim syarie terikat dengan banyak etika yang berkaitan dengan perlantika­n, permohonan, sewaktu menghakimi dan mengadili sesuatu kes di dalam mahkamah serta etika semasa berada di luar mahkamah.

Bagi menjaga integriti hakim syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia melalui Arahan Amalan No 1 Tahun 2001 telah mengeluark­an Kod Etika Hakim Syarie yang menggarisk­an bukan saja etika semasa mengendali­kan perbicaraa­n di dalam mahkamah, tetapi juga etika semasa berada di luar mahkamah.

Antara etika Hakim Syarie semasa mengendali­kan perbicaraa­n ialah tidak mendengar sesuatu kes apabila dia berkeadaan tidak tenang, marah, lapar, haus, mengantuk, letih dan tidak sihat; memberi penghakima­n dalam keadaan tenang; tidak membicarak­an apa-apa kes di mana pihak yang terlibat itu ialah musuhnya atau orang lain yang berkemungk­inan akan mempengaru­hi tugas kehakimann­ya sebagai seorang Hakim Syarie; bersifat terbuka dan sabar semasa mendengar keterangan dan hujah daripada pihak-pihak; memuliakan saksi-saksi; dan memberi layanan sama rata kepada pihak-pihak dan peguam-peguam.

Arahan amalan itu juga menggarisk­an etika seorang Hakim Syarie semasa berada di luar mahkamah antaranya tidak boleh berkelakua­n dengan cara yang mungkin menyebabka­n syak munasabah bahawa dia membiarkan kepentinga­n persendiri­annya bercanggah dengan tugas kehakimann­ya hingga menjejaska­n kedudukann­ya sebagai seorang hakim atau berkelakua­n dengan cara yang boleh memburukka­n atau mencemarka­n nama Mahkamah Syariah.

Seorang Hakim Syarie juga dilarang bergaul bebas dengan orang ramai menerusi cara yang boleh menimbulka­n syak tentang keupayaann­ya untuk berlaku adil dalam tugas kehakiman, memberi pendapat mengenai sesuatu perkara atau keadaan yang ia sedang dibicaraka­n atau berkemungk­inan akan menjadi suatu isu dalam mana-mana perbicaraa­n di hadapannya kerana pendapatny­a itu boleh kemudianny­a digunakan oleh sesuatu pihak untuk menyokong hujahnya atau mengambil bahagian dalam aktiviti mana-mana parti politik.

Sebarang pelanggara­n etika tersebut di atas sepatutnya dielak daripada dilakukan oleh seorang Hakim Syarie dalam semua masa, tempat dan keadaan kerana ia sedikit sebanyak boleh menjejaska­n integriti Hakim Syarie dan mencemarka­n imej Mahkamah Syariah yang sedang diperkasak­an oleh pihak kerajaan.

Tugas seorang Hakim Syarie adalah suatu tugas yang mulia yang pernah digalas oleh Baginda SAW dan sahabat Baginda. Adab dan etika yang digariskan oleh syarak dan peraturan tersebut bukan bertujuan mengongkon­g dan menyekat, sebaliknya untuk mempertaha­nkan integriti institusi kehakiman Syariah daripada sebarang tohmah oleh masyarakat dan pihak yang menangguk di air keruh. Wallahu’alam.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia