Harian Metro

Ditangkap ketika bersembuny­i dalam bilik rahsia

-

Dungun: Enam wanita pelayan pelanggan (GRO) Filipina dicekup Jabatan Imigresen ketika bersembuny­i di sebuah bilik rahsia dalam serbuan Ops Mega 3.0 di sebuah premis karaoke di Paka, Dungun, semalam.

Bilik rahsia dilengkapi penyaman udara dan kamera litar tertutup (CCTV) itu dibina di bahagian belakang kaunter pembayaran yang turut dilindungi dengan longgokan sampah dan kotak bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Difahamkan, premis berkenaan menggunaka­n khidmat beberapa wanita Filipina untuk melayan pelanggan yang berhibur di situ.

Mereka adalah antara 16 wanita GRO Filipina dan Thailand berusia antara 19 hingga 34 tahun yang ditahan dalam serbuan di tiga premis karaoke di Dungun dan Kemaman.

Pengarah Imigresen Terengganu Rahim Hanafi berkata, serbuan di tiga lokasi berkenaan dilakukan 16 anggota diketuai Ketua Bahagian Penguatkua­sa Imigresen negeri, Mohd Muda antara jam 12.30 tengah malam kelmarin hingga jam 4 pagi, semalam.

Katanya, ketika serbuan di premis karaoke berkenaan, pihaknya mendapati hanya ada dua wanita Filipina sedangkan maklumat yang diperoleh menerusi risikan dan aduan orang awam, premis berkenaan menggunaka­n ramai wanita negara berkenaan bekerja sebagai GRO.

“Curiga dengan pemilik premis terbabit, pemeriksaa­n terperinci dilakukan sebelum membongkar penemuan bilik berkenaan dan menahan empat lagi wanita Filipina dalam bilik itu,” katanya.

Katanya, selain 16 GRO itu, pihaknya turut menahan tiga majikan tempatan kerana melakukan kesalahan menggaji pekerja asing tanpa permit dan seorang lelaki Thailand kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Beliau berkata, siasatan mendapati semua wanita terbabit memasuki negeri ini menerusi laluan sah sebagai pelancong dengan menggunaka­n Pas Lawatan Sosial (PLS).

“Kita percaya, mereka menjadikan PLS sebagai tiket mudah untuk masuk dan bekerja di negeri ini,” katanya.

Rahim berkata, semua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut.

Katanya, enam wanita Filipina terbabit disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala 10 wanita Thailand dan seorang lelaki dari negara sama disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.

 ??  ?? PEGAWAI imigresen menahan sebahagian 16 GRO warga asing Filipina dan Thailand dalam serbuan di tiga premis karaoke di Paka, Dungun dan Kijal.
PEGAWAI imigresen menahan sebahagian 16 GRO warga asing Filipina dan Thailand dalam serbuan di tiga premis karaoke di Paka, Dungun dan Kijal.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia