Haji 1MDB dihenti
1,200 penerima surat tawaran terpaksa lupakan hasrat ke Makkah
Seramai 1,200 individu yang menerima surat tawaran menunaikan haji melalui Program Khas Haji dibiayai Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terpaksa melupakan hasrat itu.
Ini susulan tindakan kerajaan menghentikan program itu berikutan sumber dana program berkenaan mempunyai kaitan dengan syarikat dalam siasatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof, berkata ia bermakna kuota menerusi program terbabit bagi menunaikan haji tahun ini terbatal serta-merta.
“Walaupun mereka nak bayar sendiri tapi oleh sebab ia bermula daripada Yayasan 1MDB yang sedang disiasat kerana ada kaitan dengan 1MDB, kita tidak akan teruskan.
“Kena ingat kuota yang diberi kepada Yayasan 1MDB itu pun kita ambil kuota orang lain, maka tidak adil jika kita nak teruskan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Maslan (BN-UMNO Pontian) yang memohon pertimbangan kerajaan memberi peluang kepada 1,200 individu yang menerima surat tawaran program haji 1MDB ke Tanah Suci musim ini.
Mujahid berkata, progam khas itu turut dikatakan mempunyai kepentingan politik apabila pemilihan calon dikemukan oleh Ketua UMNO bahagian.
“Pada
2011, Yayasan 1MDB dibuka untuk imam dan bilal tetapi pada 2013, bilangan mereka diluaskan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang semakin bertambah bilangannya.
“Namun semua nama dikemukakan oleh ketua bahagian UMNO, maka jelas memang ada tujuan politik menggunakan Yayasan 1MDB,” katanya.
Kepada soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abd Rahim (BN-UMNO Baling) supaya dipertimbangkan nasib 1,200 orang yang menerima tawaran itu, Mujahid menegaskan kuota berkenaan adalah ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.
“Ketika itu ia adalah kuota Pekan (Najib), itu sifat dia sebagai bekas Perdana Menteri tapi sekarang kerajaan baharu kena buat dasar baharu, bukan ambil daripada Perdana Menteri lalu,” katanya.