Kumpul dana untuk pusat autisme
di kampus UniMAP.
Kini, Pusat Autism A-HEART UniMAP mahu membina sebuah pusat yang lebih lengkap untuk membantu golongan yang memerlukan. YTSP kini menyasarkan mengumpul dana RM6 juta dalam tempoh tiga tahun demi merealisasikan impian itu.
Ahli Lembaga Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dan Pengerusi Ahli Lembaga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, pusat autisme itu bertujuan memberi pendidikan berkualiti, latihan kemahiran hidup dan sokongan kepada komuniti, ibu bapa yang mempunyai anak autistik, penjaga dan profesional.
“Yayasan menerima sokongan yang memberangsangkan daripada badan korporat dan menyumbang setengah juta ringgit sehingga kini. Kami berbesar hati kerana Acts One Group Inc turut memberi sokongan untuk merealisasikan impian ini,” katanya.
Pengasas dan Pengerusi Acts One Group Inc Serena Chiam berkata, pihaknya gembira dapat memberi sedikit sumbangan untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Kita memainkan peranan dalam membentuk masa depan yang lebih baik untuk semua. Kami harap lebih banyak syarikat dan individu akan memberi sumbangan kepada YTSP untuk membiayai pembinaan Pusat Autism A-HEART UniMAP,” katanya. Turut hadir ialah Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr
Zul Azhar Zahid Jamal.
Sementara itu, Autism Buddies yang memainkan peranan penting dalam inisiatif A-HEART diwakili Puan Sri Akmal Abdul Salam berkata, walaupun kesedaran orang ramai terhadap autisme adalah tinggi, namun pemahaman mengenainya masih rendah.
“Selama beberapa tahun, pihak berwajib yang menawarkan perkhidmatan pendidikan berdepan cabaran untuk memenuhi keperluan kelompok rakyat Malaysia yang mengalami autisme.
Jadi, kami perlu meningkatkan sumber dalam negara untuk membangunkan kemudahan dan program-program buat komuniti yang memerlukan perkhidmatan seperti ini,” katanya.
Pusat Autism AHEART UniMAP dikendalikan sepenuhnya oleh universiti. Pusat itu dilengkapi pelbagai kemudahan dan bantuan pembelajaran yang interaktif. Ia juga menawarkan perkhidmatan seperti pengesanan awal dan intervensi menerusi rawatan, terapi serta pendekatan pendidikan terbaik kepada anakanak autisme. Di samping memberi sokongan kepada ibu bapa, penjaga dan golongan profesional.
Malah pusat itu akan menyediakan pendidikan dan latihan kepada golongan muda penghidap autisme berdasarkan kepada kemahiran serta minat mereka yang berbeza demi membina masa depan mereka.