Hamidin lega dapat restu PM
Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin gembira kerana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi lampu hijau buat badan induk itu menggunakan khidmat pemain naturalisasi.
Justeru, Hamidin menjelaskan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi akan digerakkan untuk memperhalusi cadangan pengambilan pemain berkenaan.
“Saya terharu kerana Tun Dr Mahathir sentiasa mengambil berat serta memantau perkembangan pasukan bola sepak kebangsaan. “Itu menunjukkan kerajaan memainkan peranan positif dalam memajukan sukan bola sepak tempatan.
“Justeru, mengambil reaksi positif kenyataan Tun Dr Mahathir hari ini (semalam), FAM akan mula menggerakkan jawatankuasa khas untuk memperhalusi hal berkaitan pengambilan pemain naturalisasi bagi langkah seterusnya.
“FAM tetap akan berusaha memperkasakan program akar umbi seperti disarankan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai program jangka masa panjang.
“Ia bagi melahirkan pemain Harimau Malaya pada masa depan biarpun sedang berusaha ke arah pemain naturalisasi dalam masa terdekat ini,” kata Hamidin menerusi satu kenyataan, hari ini.
Restu yang diberikan Dr Mahathir kepada FAM itu dilihat bakal menjadi satu lagi titik perubahan bagi mencipta sejarah baru dalam arena bola sepak negara.
Cadangan untuk menggunakan khidmat pemain naturalisasi itu diluahkan Hamidin pada sesi dialog bersama penyokong di ibu negara pada 21 Julai lalu dan mendapat pelbagai reaksi daripada beberapa pihak.
Pelbagai pihak termasuk Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan tampil menyokong cadangan berkenaan walaupun pada masa sama wujud segelintir individu yang menganggap pengambilan pemain naturalisasi sebagai jalan pintas yang tidak wajar diperkenalkan.