JENAZAH TIBA HARI INI
Sepang
Rasa syukur yang mampu dititipkan lima pendaki rakyat Malaysia yang selamat tiba ke tanah air selepas terperangkap dalam kejadian gempa bumi di Lombok
Timur, Indonesia.
Seorang pendaki berkenaan, Siti Hidayah Zainuddin, 38, berkata, ketika kejadian, ahli kumpulannya seramai 20 orang menyusun beg sebelum memulakan pendakian Gunung Rinjani di pulau berkenaan.
Menurutnya, ahli kumpulannya dijadualkan mendaki gunung berkenaan pada jam 7 pagi waktu tempatan, namun pada jam 6.57 pagi, dia berasa satu gegaran yang begitu kuat.
“Kami semua panik dan tidak tahu nak buat apa, tanah bergoyang dan ketika itu, berlaku gegaran kedua.
“Tidak tahu nak fikir apa kerana pada masa itu, semua ahli kumpulan sudah bersiap, kami cuma hanya beberapa minit saja untuk bergerak ke tempat pendakian,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, sebaik tiba dari Lombok, semalam.
Semua lima pendaki berkenaan selamat tiba di klia2 dengan penerbangan AirAsia AK305 pada jam
1.33 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok pada jam 10.20 pagi.
Gempa bumi kuat berukuran 6.4 skala Richter itu menggegarkan wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok pada jam 5.47 pagi menyebabkan penduduk kawasan itu bertempiaran meninggalkan kediaman dan bangunan.
Kejadian itu turut mengorbankan rakyat Malaysia, Siti Nur Iesmawida Ismail, 30, yang selesai menamatkan misi pendakian ke Gunung Rinjani akibat ditimpa runtuhan bangunan di lokasi penginapannya.
Siti Hidayah berkata, penduduk tempatan mendakwa kejadian itu gempa bumi yang pertama berlaku di kaki Gunung Rinjani.
“Sebelum ini, gempa bumi berlaku di kawasan lain dan itu yang pertama berlaku di kawasan berkenaan.
“Dekat kaki gunung ada dua kawasan pengumpulan, bagi kumpulan yang sudah mendaki, mereka berkumpul di Sembalun, manakala yang baru mendaki iaitu tempat berkumpul untuk kumpulan kami pula terletak di Senaru. Jarak kedua-dua lokasi ini 50 minit. Punca gegaran berlaku di Sembalun.
“Kami berterima kasih kepada semua pihak terutama penduduk kampung, sukarelawan, penganjur, polis dari kedua-dua negara, pihak kedutaan, AirAsia dan kerajaan yang banyak membantu kami,” katanya.
Kumpulan pertama tiba ke tanah air luah kesyukuran