Harian Metro

AIR MATA SAMBUT ANAK

Ketua Ekspedisi Gunung Rinjani luah perasaan tak dapat selamat anak buah

- Suraya Roslan surayarosl­an@hmetro.com.my

Kuala Lumpur

“Hanya Allah yang tahu bagaimana perasaan saya ketika ini apabila kehilangan anak buah. Sebagai ketua ekspedisi saya terkilan kerana tidak dapat menyelamat­kan arwah.

“Saya doakan arwah Siti Nur Iesmawida ditempatka­n dalam kalangan orang beriman,” kata Ketua Ekspedisi Gunung Rinjani May Lie Laili Maidin, 24.

Wanita berasal dari Kudat, Sabah itu adalah individu yang bertanggun­gjawab membawa 17 pendaki Malaysia ke Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia sebelum berlaku gempa bumi.

Gempa meragut nyawa seorang pendaki iaitu Siti Nur Iesmawida Ismail, 30, manakala tiga yang lain iaitu Anzilla Jais, 27, Nurul Fatin Nabilah Tamyiz, 24, dan May Lie sendiri cedera.

May Lie yang patah paha kanan dan menerima 20 jahitan di kepala bersama Anzilla dan Nurul Fatin kini dirawat di Hospital Mataram, Lombok.

Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Amanda Omeychua dalam kalangan pendaki bermimpi Gunung Rinjani meletus pada malam sebelum kejadian dan tidak menyangka ia adalah petanda gempa akan melanda kawasan itu.

“Pada jam 11 malam saya sudah tidur kerana kami kena bangun seawal jam 6 pagi untuk pulang ke Malaysia. Akibat mimpi itu hati saya berasa tak tenang lalu keluar dari bilik untuk melihat keadaan pendaki lain.

“Ketika itu mereka semua masih berjaga, ada yang rancak bersembang mengenai pengalaman mendaki dilalui sebelum itu.

“Arwah kemudian datang berjumpa saya untuk minta ubat kerana demam. Gelagatnya macam biasa langsung tak kelihatan tanda dia akan pergi, jadi saya masuk ke dalam bilik untuk tidur semula,” katanya yang menawan Gunung Rinjani sebanyak lima kali.

Menurutnya, dia kemudian bangun untuk mengejutka­n pendaki pada jam 6 pagi kerana mereka perlu berada di lapangan terbang pada 8 pagi.

“Sebenarnya sudah ramai yang siap ketika itu, tiba-tiba dua pendaki minta bantuan saya untuk melipat dan memampatka­n baju sebelum dimasukkan ke dalam beg.

“Ketika saya melipat baju ketiga, rumah kami bergegar dengan kuat, tak sampai satu minit semua sudah ranap.

“Saya tidak sempat melarikan diri kerana berada betul-betul di ruang tamu manakala pendaki duduk berhampira­n pintu sempat keluar,” katanya.

Dalam keadaan cemas itu May Lie sempat mendengar jeritan Siti Nur Iesmawida meminta bantuan namun sejurus kemudian dia pula yang tidak sedarkan diri.

Katanya, selepas terjaga pendaki lain memaklumka­n Siti Nur Iesmawida sudah meninggal dunia meskipun tidak cedera parah.

“Mahu atau tidak saya kena terima kenyataan, ajal arwah sudah tiba, saya akan merindui gelagat Siti Nur Iesmawida, dia seorang yang ceria dan pandai menghiburk­an kami semua.

“Mujur pendaki lain yang teruja untuk pulang ke Malaysia sudah bangun, jadi mereka sempat menyelamat­kan diri.

“Kebiasaann­ya memang sukar untuk kejut mereka semua daripada bangun tidur, Alhamdulil­lah semua yang berlaku ada hikmahnya,” katanya.

Jelasnya dia berada di Lombok sejak 16 Julai lalu kerana membawa 11 pendaki wanita diikuti kumpulan kedua membabitka­n 17 pendaki berkenaan.

“Sepanjang tempoh itu saya berasa tak sedap hati, seolah-olah ada perkara tak diingini akan berlaku. Saya semakin bimbang kerana pada malam kejadian air minuman empat daripada kami tertumpah.

“Namun saya tidak mahu layan sangat perasaan itu termasuk petanda mimpi berkenaan. Selepas ini saya akan menghentik­an sementara aktiviti pendakian ke Gunung Rinjani kerana masih trauma,” katanya yang akan pulang ke Malaysia esok.

 ??  ??
 ??  ?? MAY Lie
MAY Lie

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia