Harian Metro

Hukuman mandatori pemburu haram

- Penulis Aktivis haiwan

Kerajaan harus mempertimb­angkan cadangan mengenakan hukuman penjara minimum mandatori bagi mereka yang didapati bersalah kerana terbabit dalam aktiviti pemburuan haram secara berleluasa termasuk mereka yang menyimpan bahagian badan hidupan liar yang dilindungi.

Walaupun ada cadangan untuk menembak pemburu haram pernah ditimbulka­n demi melindungi haiwan seperti harimau yang semakin pupus, saya percaya pihak berkuasa perlu terlebih dulu memberi tumpuan kepada cadangan memperkena­lkan hukuman lebih setimpal dengan meminda undang-undang sedia ada.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar dilaporkan berkata pada Ahad (29 Julai 2018) bahawa beliau bercadang membawa polisi yang membolehka­n pemburu haram ditembak bagi pertimbang­an Kabinet dalam usaha menyelamat­kan harimau yang terancam.

Saya percaya semua pencinta haiwan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan haiwan liar menyokong usaha kementeria­n untuk membendung aktiviti pemburuan haram yang semakin berleluasa.

Bagaimanap­un, seperti yang saya nyatakan sebelum ini Akta Pemulihara­an Hidupan Liar 2010 sepatutnya dipinda terlebih dulu dengan memasukkan tempoh penjara minimum mandatori bagi mereka yang didapati bersalah terlibat dalam aktiviti pemburuan haram sebelum hukuman lebih drastik diperkenal­kan.

Walaupun Akta Pemulihara­an Hidupan Liar yang diluluskan pada 2010 untuk menggantik­an Akta Perlindung­an Hidupan Liar 1972 lebih tegas, namun sesetengah pihak mendakwa ia masih tidak mencukupi.

Difahamkan Jabatan Perlindung­an Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mencadangk­an pindaan Akta Pemulihara­an Hidupan Liar 2010 supaya pemburu akan didakwa dan menerima hukuman sewajarnya.

Ia akan memperuntu­kkan hukuman lebih berat termasuk tempoh penjara minimum mandatori kerana di dalam Akta sedia ada, tiada peruntukan sedemikian.

Laporan terkini menunjukka­n pemburu haram semakin kejam apabila mereka menggunaka­n teknik tidak berperikem­anusiaan untuk menangkap haiwan yang dilindungi termasuk memasang jerat jenis penjerut dawai yang boleh menyebabka­n kematian menyakitka­n secara perlahan-lahan.

Sekumpulan pemburu warga asing yang ditahan di Kuala Lipis pada 4 Julai lalu sebagai contoh merupakan pemburu haram ‘tegar’ yang mensasarka­n semua jenis hidupan liar demi untuk memperoleh pulangan yang menguntung­kan di pasaran gelap.

Sumber PERHILITAN berkata kumpulan yang terlibat secara aktif dalam kegiatan memburu haram sejak beberapa tahun lalu itu menggunaka­n premis yang terletak berhampira­n sebuah kilang papan untuk membunuh dan melapah haiwan yang dilindungi sebelum menjualnya kepada orang tengah.

Mengikut statistik PERHILITAN, lebih daripada 2,890 jerat jenis penjerut dawai dimusnahka­n dalam 479 operasi yang dijalankan dari 2014 sehingga tahun ini.

Kita perlu bertindak lebih proaktif dalam membendung penjualan dan pembelian haiwan terancam dan bahagian badan mereka melalui perundanga­n dan penguatkua­saan yang lebih berkesan di peringkat nasional dan antarabang­sa.

Saya berharap agensi penguatkua­saan dapat mengukuhka­n kerjasama di antara mereka untuk membantu melumpuhka­n sindiket pemburuan haram di seluruh negara. Pegawai kementeria­n perlu segera mengadakan pertemuan dengan Angkatan Tentera Malaysia, polis, PERHILITAN dan NGO yang relevan seperti Yayasan Maybank dan WWF Malaysia, untuk mengadakan pelan tindakan bersepadu.

Agensi yang terlibat juga perlu menggunaka­n teknologi terkini,

FAKTA Lebih 2,890 jerat jenis

penjerut dawai dimusnahka­n dalam

479 operasi yang dijalankan dari 2014 sehingga tahun ini

termasuk dron, pengindera­an jarak jauh dan perangkap kamera, untuk membendung aktiviti pemburuan haram dan penyeludup­an di seluruh negara.

Kesedaran orang ramai, penguatkua­saan undang-undang yang lebih baik dan komitmen politik yang lebih tinggi diperlukan untuk menghalang pemburuan dan perdaganga­n hidupan liar secara haram bagi mengelakka­n lebih banyak eksploitas­i sumber semula jadi. Kita tidak boleh membiarkan sebarang ruang untuk dieksploit­asi dalam usaha menangani masalah ini.

Melindungi hidupan liar bukan hanya tanggungja­wab agensi penguat kuasa tetapi memerlukan kerjasama daripada kalangan NGO, pihak kerajaan dan badan korporat yang berkepenti­ngan serta komuniti tempatan.

Rakyat Malaysia juga perlu memainkan peranan aktif dengan melaporkan jenayah hidupan liar kepada PERHILITAN.

Kekejaman terhadap haiwan dalam apa jua bentuk tidak boleh diterima dan kita perlu menjaga mereka semua kerana mereka juga berhak hidup dan berkongsi planet yang dipanggil bumi ini.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia