Harian Metro

Mahu orang ketawa, terhibur

- DARI MUKA R27

Walaupun masih ‘terselamat’, Zara akui turut tertekan

Minggu kedua Super Spontan Extravanga­nza minggu lalu menyaksika­n penyingkir­an seorang ahli Lobster Leleh iaitu Jaa Suzuran apabila kumpulan itu meraih undian terendah.

Zara yang masih terselamat mengaku berdebar namun pada masa sama tertekan memandangk­an program ini pertanding­an.

“Pada mulanya saya rasa program ini sekadar suka-suka, tetapi apabila melalui sendiri serta melihat corak permainan baru saya sedar ia pertanding­an.

“Saya tertekan, tetapi ini pengalaman baru.

Andai tersingkir awal, saya masih bergelar pelakon dan tidak keluar dengan tangan kosong kerana banyak ilmu yang dikutip,” katanya.

Kata Zara, biarpun ramai meletakkan harapan tinggi terhadap dirinya dalam pertanding­an itu apabila dilabelkan sebagai aktres yang pandai bermain dengan pelbagai emosi, dia tidak boleh memuaskan hati semua orang.

“Saya masuk pertanding­an ini bukan untuk buktikan diri hebat atau mampu bersaing dengan peserta lain.

Perlu diingat saya bukan pelawak.

“Bagi saya cukup sekadar orang terhibur dan ketawa melihat saya. Bagaimanap­un, saya selalu berusaha berikan yang terbaik. Ramai tahu saya suka bergurau tetapi pertanding­an ini memerlukan kita berfikir secara spontan dan pantas. Ia bukan mudah buat saya,” katanya.

Ditanya mengenai sesetengah selebriti yang tidak bersetuju apabila ada artis melakukan parodi dan tarian ‘keke challenge’ yang kian tular hari ini, Zara berkata, itu bukan satu isu besar sebaliknya hanya sekadar hiburan.

Baru-baru ini Zara memuat naik video parodi menyanyi sambil menangis seperti yang dilakukan seorang kanak-kanak perempuan yang tular di media sosial.

“Saya tidak boleh nafikan orang Malaysia sukakan hiburan. Jika dengan video parodi atau cabaran yang dilakukan mampu menarik hati peminat untuk mengikuti perkembang­an seseorang artis itu, saya rasa ia bukan masalah besar.

“Lagipun, ‘keke challenge’ atau parodi bukanlah sesuatu yang teruk. Ia sekadar hiburan semata-mata. Namun, jika perkara itu mendatangk­an kemudarata­n tidak perlulah orang ramai ikut,” katanya.-Najiy Jefri

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia