Harian Metro

Bertindak atas pendedahan HM

-

Kuala Lumpur: Suruhanjay­a Integriti Agensi Penguatkua­saan (EAIC) memandang serius terhadap kewujudan kolong rahsia di Ladang Laka Temin, Bukit Kayu Hitam di Kedah yang dijadikan laluan sindiket penyeludup­an bagi melepasi pusat pemeriksaa­n Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) berhampira­n.

Pengerusi EAIC Datuk A Aziz A Rahim berkata, pihaknya akan menjalanka­n siasatan bagi mengenal pasti sebab atau punca agensi yang ditugaskan untuk menjaga dan mengawal sempadan tidak menyedari wujudnya kolong itu.

Atau sekiranya kolong itu sudah disedari, katanya, mengapa tindakan sewajarnya tidak diambil.

“Mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada EAIC boleh memulakan siasatan berdasarka­n maklumat yang didedahkan oleh Harian Metro.

“EAIC juga akan menyiasat jika wujud salah laku dalaman oleh agensi penguatkua­saan yang berkaitan. EAIC berharap supaya semua agensi penguatkua­saan yang terbabit memandang serius akan perkara ini.

“EAIC akan mengambil tindakan sewajarnya dalam memastikan semua agensi penguatkua­saan di bawah seliaannya yang terbabit dalam kawalan sempadan menjalanka­n fungsinya dengan penuh integriti, cekap dan tegas,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, malam tadi.

Beliau dalam kenyataan EAIC itu turut memuji usaha Skuad Khas Harian Metro yang berjaya membongkar kes itu dan pendedahan berkaitan dengan ketirisan kawalan penguatkua­saan di sempadan yang mempunyai kesan ke atas keselamata­n negara.

“Sehubungan ini juga EAIC memohon mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tambahan berhubung laporan ini untuk menghubung­i Seksyen Aduan EAIC di talian 03 8880 5651/5625/5627,” katanya.

Laporan muka depan Harian Metro 25 Julai lalu bertajuk Kolong Bebas Cukai memetik keadaan sekitar perumahan penduduk Ladang Rakyat Laka Temin dan Kelab Golf Black Forest di sempadan Malaysia/Thailand lengang dan tiada pergerakan mencurigak­an walaupun kawasan itu terkenal sebagai laluan utama memasuki negara ini secara haram selepas melepasi pintu pagar sempadan.

Namun, sebenarnya di sebalik tembok pagar batu setinggi dua meter dan pagar kawat setinggi tiga meter yang memagari kawasan berkenaan ada satu laluan rahsia yang digunakan sindiket pemerdagan­gan manusia dan penyeludup iaitu satu kolong khas sepanjang hampir 20 meter yang menghubung­kan kedua-dua kawasan.

Kolong itu adalah binaan longkang lebihan air banjir yang mengalir dari tasik di kelab golf berkenaan jika berlaku hujan lebat luar biasa dan sekitar kawasan berkenaan adalah berpagar serta orang ramai tidak boleh memasuki kawasan berkenaan pada bila-bila masa kerana selain berpagar ia juga bertembok batu.

Hanya kolong itu ‘jalan’ keluar dari kawasan berkenaan.

Untuk melepasi tasik berkenaan, sindiket menggunaka­n beberapa tong plastik kosong yang besar sebagai rakit.

Semua barangan yang diseludup akan dibawa menggunaka­n rakit selain migran sebelum melalui kolong berkenaan.

Sindiket penyeludup­an menggunaka­n kolong itu berikutan kawalan dan pemeriksaa­n ketat agensi penguatkua­saan antaranya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di CIQ yang terletak berhampira­n.

Skuad Khas Harian Metro yang meninjau kewujudan kolong itu turut masuk bagi merasai bagaimana kegiatan penyeludup­an dijalankan.

Dalam kolong berkenaan ada air mengalir separas buku lali tetapi jika hujan lebat, kolong tidak boleh dimasuki kerana dipenuhi air.

Ketika menghampir­i pintu keluar, wartawan menemui satu tangga aluminium sepanjang tiga meter yang dipercayai sengaja diletakkan

bagi memudahkan penyeludup keluar di kawasan terbuka kolong berkenaan.

Menurut sumber perisikan pihak berkuasa, kolong itu dipercayai mula digunakan sindiket penyeludup­an sejak setahun lalu.

Dengan melalui kolong berkenaan, sindiket penyeludup­an tidak perlu melepasi CIQ Malaysia. Mereka hanya perlu melepasi CIQ Sadao di sempadan sebelum memasuki kawasan Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam dan terus ke kelab golf berkenaan.

 ??  ?? A AZIZ
A AZIZ

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia