TAMBAH ILMU HARTANAH
Lima sesi ceramah dengan pelbagai topik menarik dikongsi bersama pengunjung
Hari kedua pameran hartanah MyRumah 2018 anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Komtar JBCC semalam, menyediakan aktiviti menarik kepada pengunjung.
Lima sesi ceramah yang diadakan dalam pameran bermula jam 10 pagi hingga 10 malam membariskan penceramah jemputan dengan topik menarik untuk maklumat orang ramai.
Aktiviti dimulakan dengan ceramah yang disampaikan Pengasas Mamy Home Amin Yusoff dengan tajuk Renovasi Untuk Rumah Pelaburan pada jam 11 pagi.
Sesi ceramah diteruskan pada jam 2 petang oleh wakil Amacc Corporate Services Sdn Bhd Amsyari Shakur dengan topik Cukai Dalam Hartanah: Cara Untuk Jimat Cukai Dengan Betul.
Penceramah ketiga ialah wakil Bank Muamalat Awang@Musran yang membincangkan topik Jangan Biarkan Bank Menghalang Kehendak Anda Memiliki Rumah pada jam 3 petang.
Dua lagi sesi ceramah dikendalikan wakil Amanah Raya Berhad Hidayat Fitri Abdul Kadir dan Pengurus Besar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Johor Muhammad Faizal Adnan.
Selain sesi ceramah, orang ramai boleh menyertai aktiviti keluarga dan santai pentas dua ruang legar Komtar JBCC.
MyRumah Johor Bahru berlangsung selama tiga hari bermula kelmarin dirasmikan wakil Menteri Besar Johor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri Dzulkefly Ahmad.
Pameran buat kali ketiga berturut-turut di Komtar JBCC itu menyaksikan tujuh pemaju dan empat syarikat bukan pemaju menyertainya dengan lebih 500 unit kediaman ditawarkan untuk jualan.
Tujuh pemaju yang mengambil bahagian ialah Pulai Springs Resort Berhad, Bukit Pelali, Eco Tropics Sdn Bhd, Uda Land, Johor Land Berhad, Hua Yang Berhad dan Sunway Iskandar Sdn Bhd.
Empat pempamer bukan pemaju yang terbabit adalah Amanah Raya Berhad, Bank Muamalat, PTPTN dan Takaful Ikhlas Berhad.