Cieya tunggu di syurga
Pengantin kanser tak pernah tunjuk diri sengsara
“Saya sudah tidak boleh jalan sekarang, nanti kahwin duduk atas wheelchair
(kerusi roda) la, doakan kami pulih macam dulu, atleast (sekurang-kurang) boleh jalan balik.”
Itu harapan arwah Fatin Nursyahirah Yusuf, 24, yang dikongsinya bersama dua rakan baiknya, Fatin Nadzirah Muhamad Najib, 24, dan Nurul Najjah Mohd Fauzi, 24, melalui kumpulan WhatsApp mereka ketika bersiap untuk meraikan hari perkahwinannya yang sepatutnya berlangsung 18 Ogos ini.
Namun, Allah SWT lebih menyayangi gadis ini yang mesra dipanggil kakak dalam kalangan keluarga apabila dijemput
Ilahi, Sabtu
lalu, tidak sampai 24 jam bergelar pengantin baru selepas suaminya, Mohamad Saiful Azzam Mohmed, 25, menikahi arwah yang nazak dan terbaring di katil akibat
kanser mesenchymal chondrosarcoma tahap akhir.
Fatin Nadzirah berkata, arwah rakannya yang dipanggil Cieya seorang sahabat baik terutama perwatakannya yang lemah lembut dan sentiasa menjaga hati kawan.
“Kami berkawan sejak sekolah dan Cieya selalu beritahu keadaan kesihatannya semakin merosot, namun tidak pernah merungut dengan keadaan dirinya.
“Arwah reda dengan keadaan dirinya dan dia memang kuat serta tidak pernah menunjukkan kesakitan di depan kami,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, Cieya memberitahu pada hari perkahwinannya, dia mahu memakai baju serba putih untuk pernikahan dan persandingan mereka, manakala semua pengiring pengantin memakai persalinan ungu.
“Kali terakhir kami bertemu Aidilfitri lalu. Kami bergambar bersama dan arwah menitipkan pesanan supaya kami menjaga diri dan selalu doakan dirinya jika sudah tiada.
“Pasti saya merindui arwah. Semoga Allah tempatkan arwah bersama orang beriman,” katanya.
Seorang lagi rakan, Ainnul Yasmin Mohd Azhar, 24, berkata, arwah sahabat baiknya ketika menuntut di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah.
“Arwah pernah WhatsApp memberitahu keadaan kesihatannya makin merosot apabila sudah memakai alat bantuan pernafasan dan tidak boleh berjalan lagi.
“Pilu hati saya kerana tidak dapat bersama dengan arwah berikutan saya melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi MARA, Puncak Alam,” katanya.
Menurutnya, dia mengetahui rakan baiknya meninggal dunia selepas dihubungi Azzam jam 5.40 pagi, Sabtu lalu.
Sementara itu, seorang ahli keluarga arwah yang dikenali sebagai Nina A.Z dalam coretan di Facebooknya memaklumkan anak keempat daripada lima beradik terbabit tidak pernah menyerah kalah dan sangat kuat berjuang melawan kanser.
“Saya masih ingat kita menonton cerita The Fault in Our Stars
dan Miss You
Already. Kedua-dua cerita ini mengenai pesakit kanser dan kakak dipilih melalui ujian sama apabila disahkan menghidap kanser.
“Kisah hidup kakak, bagaimana Azam, ibu bapa dan adik-beradik Azam sudi terima kakak menjadi isteri dan bagaimana keluarga kita dan keluarga Azam turut sama berjuang melawan kanser bersama kakak lebih hebat daripada movie
(filem) yang kita pernah tengok.
“Azam yang dulu kakak cerita, mula nak kenal kakak dengan kejar kakak sambil bawa aiskrim cair di funfair (pesta), tetap ambil kakak jadi isteri walaupun kakak tak boleh berjalan dan bernafas bergantung pada bantuan oksigen.
“Pernikahan yang bukan biasa-biasa, hebatnya kisah cinta kamu berdua, Allah tetapkan kakak jadi isteri Azam walaupun tak sampai sehari.
“Semoga di sana kakak dapat bersatu dengan suami dan Allah angkat darjat kakak sebab ujian hebat ini,” katanya.