Selesa kerja tukang kayu
Penyanyi dua beradik perlu kerja tetap sara keluarga
Kumpulan duo adik-beradik dari Sabah, Atmosfera mengakui selesa bekerja sepenuh masa sebagai tukang kayu untuk pembuatan pintu di kampung halaman di Keningau.
Atmosfera yang popular dengan lagu Berakhirlah Sudah, Tak Tahu Malu, Demi Si Kici dan Original Sabah memberitahu mereka memerlukan kerja tetap.
Dianggotai Hezron Rayner, 26, dan Hazrenol Rayner atau Ganak, 24, kedua-duanya sudah berkeluarga.
Hezron berkata, dia dan adiknya, Ganak suka dengan
Meskipun Atmosfera kian dikenali, kami tidak mahu letak harapan tinggi Hezron Rayner
kerja mereka sebagai tukang kayu.
“Meskipun Atmosfera kian dikenali, kami tidak mahu letak harapan tinggi.
“Ini kerana kami tahu rezeki dalam dunia seni ada pasang surutnya. Jadi, kami perlukan kerja tetap.
“Apatah lagi, kami sudah berumah tangga dan masing-masing mempunyai dua anak yang masih kecil,” katanya.
Menurut Ganak pula, dia dan Hezron pernah berhenti kerja sebagai tukang kayu daripada awal pembabitan dalam nyanyian.
“Ketika itu kami berasakan populariti yang diperoleh akan menjulang nama Atmosfera.
“Namun, urusan rezeki memang milik Tuhan. Selepas berhenti kerja, Atmosfera tiada tawaran menyanyi.
“Akhirnya, kami nekad kembali bekerja sebagai tukang kayu hinggalah sekarang dan tidak mungkin berhenti,” katanya.
Ganak berkata, dia dan abangnya sangat berterima kasih dengan majikan kilang kayu itu kerana sudi menerima mereka bekerja di premis itu.
Atmosfera yang disangkakan kumpulan muzik dari Indonesia ditubuhkan pada 2012.
Hampir lima tahun aktif dalam bidang nyanyian, Atmosfera akan melebarkan sayap mereka ke Indonesia, hujung Ogos ini.
Ini kerana kebanyakan lagu hit mereka mendapat tempat di hati pencinta muzik negara itu.