Kedudukan kewangan NIOSH catat lebihan dana
Jabatan Audit Negara (JAN) memuji tadbir urus
Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berikutan kemampuan syarikat itu menjana pendapatan daripada aktiviti operasi tanpa bergantung kepada geran kerajaan.
NIOSH adalah Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) bawah Kementerian Sumber Manusia.
Menurut Laporan
Ketua Audit Negara 2017 Siri 1 yang dikeluarkan semalam, mendapati kedudukan kewangan NIOSH adalah kukuh menyaksikan syarikat itu mencatatkan lebihan dana sebelum cukai bagi tiga tahun berturut-turut.
Ia masing-masing berjumlah RM7.42 juta pada 2014, RM9.62 juta pada 2015, RM9.07 juta pada 2017.
“Tahap kecairan aset semua berbanding liabiliti pada kadar nisbah 8:1 menyaksikan syarikat berupaya memenuhi obligasi jangka pendek menggunakan sumber dalaman.
“NIOSH mempunyai baki tunai dan kesetaraan tunai yang tinggi berjumlah RM147.63 juta pada 2016.
“Tambahan pula, pengurusan geran pembangunan dalam aspek penggunaan geran dan pelaksanaan projek adalah cekap menyaksikan 95 peratus daripada peruntukan yang disalurkan dibelanjakan mengikut tujuan yang diluluskan,” menurut laporan itu. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menerima teguran Jabatan Audit Negara membabitkan prestasi pembangunan serta pengurusan hartanah.
Menurut laporan audit yang dijalankan pada September hingga Disember 2017 itu, dua daripada tiga perkara tidak disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
“Hanya 83.3 peratus projek pembangunan disiapkan mengikut tempoh ditetapkan manakala kutipan hartanah bagi tempoh 2015 dan 2016, masing-masing hanya mencapai 78.8 peratus dan 89.7 peratus.
“Bagaimanapun, bilangan premis yang disewakan mencapai sasaran tahun 2015 dan 2017, masing-masing sebanyak 93.1 peratus dan 90.2 peratus,” kata laporan itu.
Laporan itu turut menjelaskan aspek pengurusan hartanah MAIS membabitkan perancangan dan pemantauan projek serta penyelenggaraan premis adalah baik.
Bagaimanapun, laporan itu menyebut terdapat kelemahan dari aspek sewaan dan penjualan, pencapaian hasil projek, pentadbiran kontrak dan pemantauan menjejaskan tahap kecekapan pengurusan hartanah
MAIS.
“Sebanyak 45 daripada 461 premis tidak disewakan antara empat hingga 69 bulan menyebabkan MAIS kehilangan hasil sewaan hartanah berjumlah RM9.06 juta,” katanya.