Jumaat hari teristimewa
Umat Islam digalak banyak berselawat ke atas Rasulullah
Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali” Hadis riwayat Imam Muslim
Abu Hurairah meriwayatkan, Baginda SAW pernah memberitahu dalam sabdanya yang bermaksud: “Tidaklah matahari terbit dan terbenam yang lebih utama daripada hari Jumaat dan setiap makhluk berada dalam keadaan resah pada hari Jumaat kecuali
manusia dan jin.” (Hadis riwayat Ibnu Khuaimah dan Ibnu Hibban)
Selain hadis berkenaan, Abu Hurairah sekali lagi meriwayatkan, Baginda SAW bersabda: “Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan. Pada hari itu Adam dimasukkan ke syurga dan pada hari itu juga Baginda dikeluarkan darinya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Dua hadis berkenaan menjelaskan, hari terbaik dan teragung dalam seminggu adalah hari Jumaat.
Ia adalah hari yang dianugerahkan Allah dengan pelbagai keistimewaannya berbanding hari lain.
Banyak kelebihan dan keagungan hari Jumaat yang sepatutnya kita manfaatkannya supaya ia tidak berlalu tanpa sebarang makna.
Misalnya, kita digalak memperbanyakkan bacaan selawat ke atas Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hari kalian yang paling utama adalah hari Jumaat kerana pada hari itu Adam diciptakan dan pada hari itu Baginda diwafatkan dan pada hari itu ditiupnya sangkakala (menjelang kiamat) dan pada hari itu (mereka) pengsan. Oleh itu, perbanyakkanlah selawat ke atasku kerana selawat kalian disampaikan kepadaku.” (Hadis riwayat Imam al-Nasai’)
Membaca selawat adalah satu perintah langsung daripada Allah sebagaimana ditegaskan-Nya dalam
Surah al-Ahzab, ayat 56,
yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat kepada Nabi. Wahai orang-orang beriman, berselawatlah kamu kepadanya dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.”
Gunakan kesempatan apabila tiba hari Jumaat yang penuh barakah itu dengan melipatgandakan bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
Sudah tentu amalan sedemikian tidak sia-sia kerana Baginda SAW sendiri bersabda: “Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Bacaan selawat adalah antara manifestasi kita mencintai Rasulullah SAW. Kita semua sangat mengidamkan syafaat Baginda di akhirat kelak.
Maka, pada setiap Jumaat sepatutnya kita pergunakan untuk berselawat sebanyak yang termampu.
Amalan itu cukup mudah dan ringan saja untuk dilakukan, namun di sebaliknya terkandung begitu banyak ganjaran pahala di sisi Allah.
Selain itu, masih ramai seakan-akan mahu melepaskan peluang meraih ganjaran pahala yang dijanjikan Allah pada hari Jumaat.
Misalnya, sebaik saja selesai solat Jumaat, ada sesetengah jemaah terus meninggalkan ruang solat tanpa melakukan solat sunat empat rakaat.
Abu Hurairah memberitahu, Rasulullah SAW pernah mengingatkan dengan bersabda: “Jika kalian ingin solat (sunat) selepas menunaikan solat Jumaat, maka solatlah sebanyak empat rakaat.” (Riwayat Imam Muslim)
Dalam satu lagi hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya pada hari Jumaat terdapat satu waktu. Tidaklah seorang Mukmin mendapati saat itu dengan berdoa memohon kebaikan daripada Allah, melainkan Allah pasti akan mengabulkan permohonannya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Perkhabaran Baginda berkenaan waktu dimakbulkan doa itu sememangnya kurang kita berikan tumpuan.
Ia tidak sebagaimana kita memburu malam lailatulqadar pada bulan Ramadan.
Pada malam lailatulqadar kita mahu memfokuskan amalan wajib dan sunat terutama pada malam 10 terakhir Ramadan.
Begitu juga besarnya ganjaran pahala yang dijanjikan Allah kepada kita pada hari Jumaat.