RAWATAN 5 BINTANG
Kewujudan hospital swasta dan resort berkonsepkan kesihatan di Malaysia antara elemen utama pelancongan perubatan
Jarang sekali ada orang yang suka berkunjung ke hospital kecuali individu bercita-cita menjadi sebahagian daripada kakitangan perubatan. Kunjungan ke hospital kerana menziarah ahli keluarga, saudara-mara atau teman yang sakit juga bukanlah sesuatu mengujakan.
Secara umumnya, kunjungan ke hospital dilakukan kerana terpaksa, atas desakan masalah kesihatan bagi mendapatkan rawatan sebaik-baiknya daripada pengamal perubatan profesional. Badan amal juga sering berkunjung ke hospital untuk menggembirakan pesakit agar mereka cepat sembuh. Apa pun bentuk kunjungan ke hospital, ia bukanlah sesuatu yang menarik.
Bagaimanapun, senario ini mulai berubah apabila banyak hospital kini mengambil langkah proaktif dan membuka perkhidmatannya kepada pesakit luar negara.
Bukan sekadar memberikan perkhidmatan rawatan terbaik malah hospital turut menyediakan bilik penginapan setaraf hotel lima bintang menerusi sektor pelancongan perubatan.
Siapa sangka, hospital yang menjadi ‘rumah pesakit’ kini boleh mengubah imejnya sebagai destinasi pelancongan yang mampu merangsang pembangunan ekonomi negara untuk jangka masa panjang. Bahkan di luar negara, ada hospital menawarkan pakej lengkap merangkumi pengangkutan dari lapangan terbang, rawatan, penginapan dan lawatan.
Pelancongan perubatan adalah aktiviti lawatan warga asing ke negara lain untuk mendapatkan rawatan dan pada masa sama menikmati aktiviti pelancongan lain yang ada di negara berkenaan seperti destinasi beli-belah, mengunjungi lokasi tinggalan sejarah atau berlibur di taman rekreasi.
Kemunculan pelbagai projek bersepadu dibangunkan oleh pemain industri hartanah yang mewujudkan hospital swasta di dalam kawasan pembandaran baru sememangnya merancakkan lagi aktiviti pelancongan perubatan di negara ini.
Projek pembangunan bersepadu biasanya mempunyai beberapa ciri projek hartanah seperti kediaman, ruang pejabat, taman rekreasi, hospital, kemudahan pengangkutan awam, sekolah dan pusat beli-belah.
Secara amnya kewujudan hospital swasta dan resort berkonsepkan kesihatan di Malaysia adalah antara elemen utama bagi aktiviti pelancongan perubatan kerana menawarkan perkhidmatan rawatan seiring dengan gaya hidup yang diinginkan pelanggan.
Penulis dapat berasakan ‘kemeriahan’ suasana ketika membuat tinjauan di beberapa hospital swasta di ibu negara. Daripada kafe terkenal yang sinonim dengan aktiviti bersantai sehingga kedai serbaneka antarabangsa beroperasi secara meluas di ruang legar hospital sesuai dengan konsep hospital moden.
Selain itu, kemampuan hospital swasta menawarkan perkhidmatan kesihatan kepada warga asing yang turut menjadi pelancong perubatan juga tidak boleh dinafikan negara kita
sememangnya mempunyai ramai pakar bertaraf antarabangsa.
Tambahan, pemilik hospital swasta juga sanggup membuat pelaburan besar membeli pelbagai peralatan perubatan berteknologi tinggi untuk kegunaan pesakit dan menawarkan harga rawatan yang lebih berpatutan berbanding negara jiran atau negara asal pesakit berkenaan.
Jurucakap sebuah hospital swasta terkemuka negara memberitahu penulis banyak pusat perubatan di negara kita mempunyai kelengkapan terbaik dan terkini khususnya untuk rawatan kanser.
Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Pusat Pelancongan Islam dan bekas Pengarah Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) Zain Azrai berkata, Malaysia mempunyai pemain industri perubatan yang boleh dibanggakan kerana perkhidmatan mereka diiktiraf di peringkat antarabangsa. Apatah lagi, Malaysia juga diiktiraf sebagai destinasi pelancongan Muslim di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, pengiktirafan itu juga memberi kesan positif kepada sektor kesihatan, ekonomi dan pelancongan perubatan yang mampu menarik lebih ramai pelawat asing datang ke sini untuk mendapatkan rawatan di negara ini.
“Kita mempunyai infrastruktur penjagaan kesihatan yang baik, moden dan mendapat sokongan padu daripada pemain industri perubatan swasta yang sentiasa mempromosikan rawatan mereka kepada negara asing. Ia sekali gus mencerminkan kepakaran Malaysia dalam bidang perubatan.
“Perkara ini meningkatkan kehadiran pelawat asing ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan dan pada masa sama memanfaatkan kunjungan mereka di sini meneroka destinasi pelancongan yang bersesuaian,” katanya kepada Nuansa.
Ujarnya, kewujudan pelbagai resort berkonsepkan penjagaan kesihatan di Malaysia juga harus dipuji kerana mereka memberi nilai tambah kepada pelawat asing yang datang ke negara ini bagi mendapatkan rawatan.
Katanya, kos rawatan yang lebih berpatutan di Malaysia juga menjadi antara faktor utama kedatangan pelawat asing ke negara ini.
“Malaysia adalah destinasi yang menarik untuk dikunjungi kerana kita mempunyai ciri mesra pelancong seperti kebolehan rakyat berkomunikasi dalam pelbagai bahasa.
“Ini memudahkan pesakit luar negara untuk berinteraksi dengan pakar perubatan tempatan. Perkara ini memberi kelebihan kepada Malaysia untuk menjadi destinasi pelancongan penjagaan kesihatan terbaik di peringkat dunia,” katanya.
Zain berkata, dinobatkan sebagai peneraju dalam industri halal di peringkat antarabangsa memberi kelebihan kepada Malaysia kerana ia menjadi daya penarik kepada pelancong Islam dari Negara Timur Tengah untuk mendapatkan rawatan di Malaysia.
Katanya, ubat-ubatan yang digunakan di negara ini sentiasa dipantau bagi memastikan ia halal dan selamat untuk digunakan pesakit kerana Malaysia sebuah negara Islam yang amat menitikberatkan isu halal.
Katanya, pelawat dari negara Islam juga tidak perlu risau untuk mendapatkan makanan halal di Malaysia kerana terdapat pelbagai pilihan yang boleh didapati dengan mudah.
“Kita boleh lihat ramai pelancong yang datang mendapatkan rawatan di Malaysia adalah dari negara Islam seperti Timur Tengah kerana mereka tahu ubat dan makanan yang disediakan pihak hospital di sini dijamin halal.
“Ertinya, di Malaysia kita bukan saja mempunyai infrastruktur, perkhidmatan, rawatan dan perubatan yang terbaik kepada pelancong perubatan tetapi rantaian begitu inklusif, selamat dan mesra pelanggan,” katanya.