‘Tempah’ maut
Mat rempit ditahan cabar polis, tunggang lawan arus
Sekumpulan mat rempit sengaja mencabar polis mengejar mereka dengan menunggang motosikal melawan arus ketika digempur dalam Op Samseng Jalanan dijalankan di sekitar ibu kota, kelmarin.
Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam itu, tindakan sembilan remaja yang didapati menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya mengundang padah apabila ditahan polis.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, remaja berusia 16 hingga 25 tahun itu ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Pemeriksaan mendapati dua daripada remaja yang ditahan itu turut menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Mereka menjadikan cuti hujung minggu untuk berpeleseran di sekitar pusat bandar raya dan berlumba,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Zulkefly berkata, dalam operasi sama pihaknya mengeluarkan 360 notis saman terhadap pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan dikenakan saman adalah tidak memiliki lesen memandu, tiada cukai jalan, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan cukai jalan tamat tempoh.
“Semua tangkapan dibawa ke Balai Polis Trafik Tun HS Lee untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Katanya, tindakan ke atas penunggang motosikal yang gemar menunggang secara melulu dan kenderaan yang diubah suai akan dijalankan berterusan.
“Tindakan ini selaras hasrat meminimumkan kemalangan jalan raya dalam kalangan penunggang motosikal selain memastikan peraturan jalan raya sentiasa dipatuhi,” katanya.
“Pemeriksaan mendapati dua daripada remaja yang ditahan itu turut menggunakan nombor pendaftaran palsu”
Zulkefly