Setuju hukuman mati bagi kemalangan maut
Dhaka: Bangladesh berjanji memperkenalkan hukuman mati terhadap pemandu yang menyebabkan kemalangan maut dalam usaha mengekang tunjuk perasaan puluhan ribu pelajar sejak seminggu lalu, yang mendesak sistem dan undang-undang lalu lintas lebih baik.
Menteri Undang-Undang dan Kehakiman, Anisul Huq berkata, kabinet sudah meluluskan undang-undang baru yang membenarkan hukuman mati.
“Bagaimanapun, hukuman itu hanya jika siasatan mendapati kematian akibat kemalangan jalan raya itu berlaku kerana disengajakan,” katanya kepada AFP.
Tunjuk perasaan berpanjangan yang melumpuhkan Dhaka dan memaksa sekolah ditutup, menarik perhatian media asing serta kritikan masyarakat antarabangsa termasuk PBB berikutan polis dilapor bertindak keras, termasuk menembak peluru getah terhadap pelajar belasan tahun terbabit.
Ia juga menjadi ujian getir kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Sheikh Hasina menjelang pilihan raya Disember ini.
Tunjuk perasaan oleh puluhan ribu pelajar sekolah tinggi itu sebagai bantahan dua pelajar, seorang lelaki dan seorang perempuan, terbunuh akibat dirempuh bas yang dipandu laju kerana pemandunya mahu mengejar penumpang.
Dalam pertempuran terbaru di Rampura semalam, polis menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan ratusan pelajar universiti swasta.
“Mereka cuba membakar kem polis. Kami terpaksa menembak gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka,” kata ketua polis tempatan, Rafiqul Islam. AFP