Bantu masyarakat dapat kulit sihat
Sembilan daripada 10 rakyat Malaysia dilaporkan bimbang mengenai peningkatan kos sara hidup ditambah dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatanseperti makanan serta perumahan terutama di kawasan bandar. Ia secara tidak langsung menghimpit kehidupan golongan kurang berkemampuan kerana tidak dapat memenuhi keperluan harian.
Dibebani pelbagai masalah asas lain, golongan miskin di bandar selalunya tidak mengendahkan hal berkaitan penjagaan kulit kerana kos perubatan yang mahal, apatah lagi untuk mendapat akses kepada penjagaan kulit.
Namun, penjagaan kulit tidak boleh diabaikan kerana sebarang isu berkaitan kulit boleh membawa kepada masalah kesihatan lebih besar jika tidak dirawat.
Menyedari hakikat ini, Vaseline Malaysia buat kali kedua menyertai gerakan global melalui kerjasama dengan HOPE worldwide Malaysia untuk membolehkan masyarakat terpinggir di seluruh negara mendapat semula kulit yang sihat.
Tahun ini, inisiatif Vaseline Healing Project maju setapak lagi dengan penyediaan beberapa klinik bergerak percuma bertujuan memudahkan komuniti kurang berkemampuan mendapat akses kepada penjagaan dermatologi dan perubatan asas.
Komuniti sasaran di Sentul, Kuala Lumpur dan beberapa kawasan bandar utama di seluruh negara yang adanya khidmat HOPE worldwide Malaysia, akan mendapat akses kepada pemeriksaan kulit dan ceramah kesedaran kesihatan kulit sebagai tambahan kepada perkhidmatan perubatan lain seperti ujian glukos darah, ukuran indeks jisim badan (BMI) serta tekanan darah.
Selain itu, Vaseline turut berjanji mendermakan wang tunai RM150,000 dan produknya bernilai RM50,000 bagi menyokong kempen selama setahun itu.
Ketua Kategori Penjagaan Kulit dan Deodoran, Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd Guan
Lee berkata, inisiatif itu mengukuhkan komitmen syarikat berkenaan untuk berkongsi ciri pemulihan dan pada masa sama menyediakan akses terhadap penjagaan dermatologi kepada mereka yang memerlukan.
“Kami berharap dapat merapatkan jurang rawatan kesihatan kulit kerana kulit yang sihat membolehkan kita menikmati kehidupan sepenuhnya.
“Wawasan yang dikongsi bersama HOPE worldwide Malaysia meningkatkan misi kami ke satu tahap yang lebih tinggi dalam usaha memastikan lebih ramai komuniti terpinggir mendapat akses kepada rawatan kulit tahun ini dan memberi harapan kepada mereka menikmati masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Vaseline Healing
Project dilancarkan buat pertama kali di Malaysia tahun lalu dan jenama itu menyokong program perubatan HOPE worldwide Malaysia yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan asas serta pendidikan mengenai sanitasi dan kebersihan.
Inisiatif pertama itu sudah membantu 2,016 anggota masyarakat terpinggir di seluruh negara, menyumbang kepada penyempurnaan cita-cita jenama terbabit untuk memulihkan kulit lima juta penduduk di dunia yang terjejas akibat kemiskinan dan situasi kecemasan.
Sementara itu,
Pengarah Negara HOPE worldwide Malaysia Darick Wong berkata, sebagai rakan kongsi, projek itu banyak membantu pertubuhan berkenaan dalam menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada komuniti dengan memberikan mereka lebih banyak tawaran yang berfaedah untuk meningkatkan kehidupan menerusi penjagaan dermatologi.
Kerjasama itu, katanya membolehkan masyarakat terpinggir dibantu memiliki semula kulit yang sihat, bersama inisiatif lain.
“Amat mengagumkan bagaimana kesihatan kulit yang baik dapat meningkatkan keyakinan seseorang itu untuk meneruskan kehidupan dan kami mahu melihat lebih banyak lagi perubahan sedemikian dalam rangkaian kerjasama kami di seluruh negara,” katanya.
Orang ramai boleh menyertai usaha membantu masyarakat terpinggir yang memerlukan akses kepada penjagaan dermatologi dengan RM1 akan didermakan kepada Vaseline Healing Project dengan setiap pembelian produk itu hingga 30 September 2018.-Yusliza Yakimir Abd Talib
Program tingkatkan kehidupan menerusi penjagaan dermatologi