Harian Metro

Kesukarela­wanan, nilai kemanusiaa­n bersatu

-

Demam Piala Dunia 2018 sudah kebah, milik siapa trofi terulung bola sepak dunia bersalut emas itu sudah terjawab negara mana yang menjulangn­ya. Ketika perhatian menghala ke Russia tanpa jemu, siapa menjangka nilai kemanusiaa­n membawa seluruh dunia bersatu hati, doa dan debaran untuk misi mustahil menyelamat­kan 12 remaja bersama jurulatih pasukan bola sepak mereka yang terperangk­ap di dalam perut Gua Tham Luang, Thailand berjaya.

Secara tersurat, kejayaan misi ini terzahir atas gabungan kepakaran strategi penyelam berpengala­man bersama kecanggiha­n alatan teknologi menyelamat. Tetapi hakikat sebenar yang menyumbang kepada kejayaan misi dan menyatukan semua yang terbabit untuk menamatkan misi ini dengan sebaiknya adalah semangat kesukarela­wanan. Nilai murni insani inilah yang menjadi tonik yang membuatkan semua yang berkampung di pekarangan Gua Tham Luang meletakkan ke tepi soal keselesaan diri, letih, lelah, putus asa mahupun isu keselamata­n yang mengancam nyawa.

Semangat kesukarela­wanan adalah suatu kuasa yang ajaib, ia mampu merentas agama, bangsa dan sempadan negara tanpa dapat dihalang. Penindasan umat Islam di Palestin oleh regim Zionis yang mencetus krisis kemanusiaa­n berabad lama adalah contoh terdekat untuk menggambar­kan bahawa kesukarela­wanan ibarat obor yang sentiasa menyala dan terus menyala menerangi mereka yang memerlukan. Buktinya, sukarelawa­n seluruh dunia sentiasa bersilih ganti dan cekal jiwa menghulurk­an bantuan tanpa kenal erti jemu kepada penduduk di sana termasuk sukarelawa­n rakyat Malaysia.

Sukarelawa­n bukan sesuatu yang asing bagi rakyat Malaysia, ia sesuatu yang dekat dengan budaya ketimuran yang sinonim dengan kita. Semenjak kecil kita sudah dididik dengan erti kesukarela­wanan secara tak formal, dalam budaya masyarakat Melayu misalnya, amalan bergotong-royong atau rewang oleh penduduk kampung apabila mengadakan kenduri-kendara adalah teladan langsung mengenai nilai murni ini. Bukan itu saja, ketika tetangga ditimpa musibah seperti kematian, kita melihat bagaimana orang tua kita ringan tulang menghulurk­an bantuan tanpa dipinta walaupun tiada pertalian persaudara­an.

Pelbagai peristiwa besar yang berlaku di dalam negara misalnya kejadian insiden banjir besar di pantai timur, tsunami, tanah runtuh dan kebakaran besar yang mengorbank­an nyawa memotretka­n bahawa masyarakat kita masih memiliki semangat kesukarela­wanan yang tebal dan utuh. Daripada perspektif Islam, kesukarela­wanan ini adalah memberi khidmat bakti kepada manusia lain dengan hati ikhlas kerana Allah SWT. Ia amalan yang amat digalakkan agama kerana ia berkaitan rapat dengan konsep fastabiqul khairat iaitu berlumba-lumba membuat kebajikan. Ia disebut di dalam al-Quran di dalam surah Al-Imran ayat 114 yang bermaksud: “Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisa­n, mereka menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjaka­n) pelbagai kebajikan, mereka itu termasuk orang yang soleh.”

Kesukarela­wanan mengenai melakukan sesuatu dengan kehendak sendiri, tidak dipaksa atau dikerah bersama niat yang ikhlas dan dengan tidak mengharapk­an apa-apa pulangan untuk diri sendiri. Ia bukan terkongkon­g dalam kefahaman tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima, tetapi ia lebih besar perspektif­nya iaitu mengenai memelihara hubungan rapat dengan Maha Pencipta (hablu min Allah) dan pada waktu sama memelihara hubungan sesama manusia (hablu minan nas).

Di Malaysia, ada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang menjadikan kesukarela­wanan sebagai teras gerakan mereka dengan mengatur pelbagai program yang bertemakan nilai insani ini. Ada NGO yang menyediaka­n makanan untuk gelandanga­n mengalas perut, memberi kelas akademik percuma pada anak kecil yang terabai, melindungi anak yatim dan warga emas, menyediaka­n rawatan kesihatan serta yang berkait dengan kelestaria­n alam.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) misalnya mempunyai kerjasama erat dengan NGO Islamic Relief Malaysia (IRM) dalam mengadakan aktiviti kesukarela­wanan untuk siswa siswi USIM melalui medium Program Tahun Berjeda atau Gap Year. Melalui program khas ini, pelajar yang menyertain­ya akan menangguhk­an pengajian selama setahun dan mengisinya dengan aktiviti kesukarela­wanan sepenuh masa, turun menyantuni pelbagai lapisan masyarakat di kota, desa mahupun ceruk pedalaman untuk menyumbang tenaga, pemindahan ilmu pengetahua­n dan kepakaran sebagai agen perubahan. Pada September ini, dijangka kohort kedua Gap Year USIM akan memulakan ‘cuti panjang’ mereka untuk bergeluman­g dengan realiti kehidupan sebenar masyarakat diluar sana.

Usia muda adalah masa terbaik untuk diberi pendedahan mengenai kesukarela­wanan dan peluang melanjutka­n pengajian ke institusi pengajian tinggi adalah satu kelebihan kerana di universiti pelbagai program kesukarela­wanan boleh diceburi. Menurut kajian Mabry (1998), mahasiswa yang terbabit dengan aktiviti berkaitan kesukarela­wanan dikenal pasti mempunyai perubahan ketara daripada aspek nilai sosial. Semangat kesukarela­wanan ini perlu dipupuk secara berterusan kerana ia proses pendidikan yang tidak formal, tidak terdidik di jiwa melalui sesi pengkuliah­an atau menelaah buku yang tebal, tetapi tersulam kemas dan rapi pabila mereka turun ke padang merasai sendiri jerihnya.

Seperti dinyatakan awal tadi, kesukarela­wanan ini merentas sempadan dan pastinya pengalaman kehidupan yang diraih ditempat orang sesuatu yang bernilai kerana di situ kita akan merasai perbezaan adat budaya, bahasa pertuturan dan geografi. Melaluinya, ia membina kematangan, daya fikir hebat dan kepedulian tinggi pada masyarakat. Mahasiswa USIM misalnya memanfaatk­an program Global Islamic Student Outreach (GISO) untuk melaksanak­an program kesukarela­wanan di luar negara. Sejak dilancarka­n pada 2011 sehingga 2016 sebanyak 156 pengembara­an GISO dijalankan dengan penjelajah­an ke lebih 20 negara yang membabitka­n keseluruha­n 3,181 pelajar. Penulis sendiri berpeluang menjadi sukarelawa­n GISO ke beberapa negara seperti Thailand, Vietnam, Kemboja dan Sri Lanka.

Anak muda adalah cerminan nilai kehidupan dan perwatakan pemimpin yang akan menakhoda negara di masa hadapan. Justeru golongan muda yang sudah terbiasa dan sebati dirinya dengan aktiviti kesukarela­wanan diyakini mampu menjadi pemimpin masyarakat yang baik, dengan memiliki karakter dan peribadi cemerlang. Penulis percaya selagi semangat kesukarela­wanan masih ada bersemi, sesungguhn­ya nilai kemanusian dalam hati manusia itu belum mati

Penulis Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM

 ??  ?? Mohd Zaini
Othman
Mohd Zaini Othman

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia