Harian Metro

Skuad B-16 mandi peluh benam Laos

-

Kuala Lumpur: Skuad bawah 16 tahun negara (B-16) terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Laos 1-0 untuk menempah pertemuan dengan pasukan tuan rumah Indonesia dalam aksi separuh akhir yang dijangka ‘panas’ esok.

Pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Gelora Joko Samudro, Surabaya semalam, Malaysia terpaksa mengharapk­an gol sendiri pemain Laos Anoulack Vannalath pada minit ke-4 untuk mara selaku naib juara kumpulan selepas mengumpul sembilan mata, ketinggala­n satu mata dengan pendahulu Thailand.

Skuad kendalian Raja Azlan Shah Raja Sho’ib itu menguasai sepenuhnya permainan namun bahagian serangan yang agak tumpul menyaksika­n beberapa gerakan ke kubu lawan mudah dipatahkan.

Kemenangan ke atas Laos adalah yang ketiga berturut-turut dilakar anak buah Raja Azlan dalam kempen Kumpulan B selepas menewaskan Brunei 6-1 dan Singapura 4-0 untuk bangkit susulan kekalahan 1-2 di tangan Thailand pada aksi pembukaan.

Bagaimanap­un cabaran lebih perit dijangka bakal dilalui skuad negara apabila berdepan juara Kumpulan A, Indonesia di Stadium Gelora Delta Sidoarjo pada separuh akhir.

Layanan ‘panas’ bakal mereka hadapi di depan ribuan penyokong Indonesia susulan insiden penyokong tuan rumah melaungkan kata-kata kesat ‘Malaysia itu anjing’ dan juga ‘Amirul itu anjing’ ketika skuad negara turun beraksi menentang Thailand pada 30 Julai lalu.

Tindakan penyokong Indonesia itu tercetus gara-gara pemain muda negara, Amirul Ashrafiq Hanifah dituduh menghina bendera Indonesia apabila meletakkan bendera terbalik dalam Instagram Story miliknya ketika membuat ucapan ringkas sebelum berlepas ke Surabaya.

Namun, Amirul sudah menyatakan permohonan maaf secara terbuka dan menjelaska­n ia bukan provokasi sebaliknya hanya kesilapan meletakkan bendera Poland.

Berikutan insiden itu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah menghantar surat bantahan kepada Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) dan AFF supaya tindakan tegas diambil.

Malaysia memburu kejuaraan kedua selepas merangkul gelaran pada 2013 di Myanmar dengan menewaskan Indonesia menerusi sepakan penalti 3-2 apabila permainan sebenar terikat 1-1.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia