Harian Metro

Tambah rumah tanpa kawalan

- Poliana Ronnie Sidom poliana@nstp.com.my

Sandakan: Tiada kawalan daripada pihak berkuasa untuk menambah struktur rumah di penempatan atas air antara faktor kediaman dibina terlalu rapat hingga mengundang kemusnahan lebih besar apabila berlaku kebakaran.

Biarpun ada kawasan sudah lebih sekali terbakar, keadaan sama masih berlaku susulan kurangnya kesedaran selain keluasan kampung yang terhad untuk menampung populasi penduduk yang ramai.

Ia diakui Ketua Kampung Gas Lama, Mohd Din Pani, 64, yang dua kali hilang tempat tinggal apabila rumah dibina musnah dalam kebakaran pada 1994 dan terbaru, Jun lalu.

Mohd Din mendakwa, selepas kebakaran pertama, rumahnya mempunyai jarak sekurang-kurangnya lima meter dari jiran, namun terpaksa menambah keluasan kerana keluarga semakin bertambah hinggalah kebakaran pada Jun lalu meranapkan sekali lagi kediamanny­a.

Katanya, sebuah lagi rumahnya yang baru enam bulan lalu dibeli daripada jiran bernilai RM13,000 turut musnah dalam kebakaran menyebabka­n lebih 1,000 hilang kediaman apabila 140 rumah terbakar, baru-baru ini.

“Selepas kebakaran pertama dulu, Majlis Perbandara­n Sandakan (MPS) sudah tetapkan keluasan (jarak dengan rumah jiran), tetapi masalah orang kita ini tambah (struktur rumah) ke kiri, tambah ke kanan hingga lama-lama rumah berdekatan, lama-lama sampai atap bertemu atap,” katanya.

RM16 juta. Itu kerugian dialami mangsa kebakaran di perkampung­an atas air di seluruh negeri ini sejak 2014.

Berdasarka­n statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, jumlah itu membabitka­n 41 kes atau sekurang-kurangnya 1,400 rumah terbakar dengan kemusnahan paling banyak direkodkan di Kampung Bangau-Bangau, Semporna iaitu 291 rumah pada 2015, disusuli Kampung Landung Ayang, Kudat pada 2016 dan Kampung Hidayat Batu 4, Tawau pada 2017, masing-masing 250 rumah.

Sepanjang tempoh itu juga, tiga kes kematian di rumah atas air membabitka­n seorang mangsa di Kampung Pangi Hujung, Kunak pada 2015, manakala dua mangsa di Kampung Tanjung Batu Laut, Tawau pada 2016.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia