City masih buka ruang buat Mendy AWASI BENTEKE!
Klopp beri amaran waspada berdepan bekas penyerangnya di Crystal Palace
Manchester: Pep Guardiola menegaskan masih terdapat ruang di Manchester City buat Benjamin Mendy selagi dia kekal fokus di padang.
Pertahanan kiri itu kini dalam proses mencari semula rentak di Etihad selepas terlepas sebahagian besar kempen musim lalu akibat kecederaan ligamen lutut yang dialaminya sewaktu berdepan Crystal Palace, September tahun lalu.
Dia kembali beraksi April lalu, tepat pada masanya untuk membantu Perancis menjulang Piala Dunia di Russia yang mana dia sempat membuat satu kemunculan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan berdepan Denmark.
Mendy diturunkan dalam dua kemenangan pertama City – mengatasi Chelsea
2-0 dalam aksi perebutan Perisai Komuniti dan kemudiannya menentang Arsenal dengan jumlah gol yang sama di Stadium Emirates, Ahad lalu.
Bagaimanapun, Guardiola tetap mengkritik Mendy yang gagal memainkan peranan posisi dengan betul apabila berkata: “Kadang kala anda rasa seperti mahu membunuhnya, kadang-kala anda akan bercakap, Wow betapa hebatnya dia.”
Dia turut menggesa pertahanannya itu supaya kurang meluangkan masa dengan aktiviti media sosial.
Namun, bekas pengurus Barcelona itu tidak mampu menafikan betapa kehadiran Mendy dalam pasukan tetap meningkatkan semangat rakan sepasukannya.
“Untuk memiliki pemain seperti Mendy di bilik persalinan adalah amat penting untuk menjaga keharmonian pasukan. Dia suka membuat orang ketawa.” –
AFP
London
Jurgen Klopp memberi amaran supaya Liverpool berwaspada dengan ancaman Christian Benteke apabila pencabar gelaran itu berdepan bekas penyerangnya di Crystal Palace awal pagi esok.
Skuad Klopp meletakkan diri mereka sebagai pencabar utama Liga Perdana Inggeris musim ini dengan kemenangan besar 4-0 ke atas West Ham hujung minggu lalu.
Ia permulaan sempurna buat Liverpool untuk menyingkirkan juara bertahan Manchester City selepas Klopp berbelanja £160 juta (RM837.8 juta) pada musim rehat liga.
Namun, Klopp percaya ada bahaya menanti mereka dalam kunjungan ke Selhurst Park.
Palace sering memberikan ujian getir buat pasukan gergasi yang berkunjung ke selatan London dan kehadiran penyerang Belgium, Benteke adalah sebahagian daripada ancaman itu.
Benteke berada dalam skuad Klopp ketika beliau tiba di Anfield pada
2015 namun sukar mencari tempat buat penyerang itu dan membenarkannya menyertai Palace selepas setahun di
Merseyside.
Pemain berusia 27 tahun itu menerajui serangan Palace ketika menang 2-0 di Fulham pada hari pertama kempen musim ini, sekali gus mencetus kenangan ketika dua gol pemain itu mengecewakan Liverpool di Anfield pada April 2017.
“Semua orang bercakap menjual
Benteke satu kesilapan kerana skil yang dimilikinya tidak pernah hilang,” kata Klopp.
“Biarpun tidak menjaringkan banyak jaringan musim lalu, dia sentiasa berpeluang menjaringkan gol.”
Benteke bukan satu-satunya ancaman dimiliki barisan penyerang Palace dan pengurus
Eagles, Roy
Hodgson percaya
Wilfried
Zaha juga mampu mengubah masa depan kelab itu.