Harian Metro

Polis buru lelaki dikenali ‘Padukaseti­adiraja Azmi Ismail’

-

Dungun: “Kawe ayoh mie BN,” itu kata seorang suspek sebelum menetak pergelanga­n tangan seorang lelaki sehingga hampir putus dalam kejadian di Kampung Telaga Emas, Paka di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dungun Superinten­dan Baharudin Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam, mangsa berusia 43 tahun ditetak oleh suspek dengan parang sehingga pergelanga­n tangannya hampir putus.

Katanya, kejadian dikatakan berlaku apabila mangsa yang berada dalam rumahnya terdengar bunyi bising di luar rumah sebelum kejadian.

“Mangsa kemudian membuka pintu dan terkejut mendapati hampir 40 orang tidak dikenali berada di hadapan rumahnya.

“Mangsa yang kehairanan terus menutup pintu dan menukar pakaian serta pada masa sama pintu rumahnya diketuk bertalu-talu,” katanya.

Baharudin berkata, tidak tahan mendengar bunyi bising pintu rumahnya diketuk, mangsa membuka pintu sebelum suspek memperkena­lkan diri dan tiba-tiba menetak tangan kiri mangsa.

“Mangsa cuba menutup pintu, tetapi ditolak dan beberapa lelaki lain kemudian memukulnya menggunaka­n pelbagai objek.

“Suspek kemudian melarikan diri sebelum kejadian disedari jiran mangsa yang membawa mangsa ke Hospital Dungun untuk mendapatka­n rawatan.

“Bagaimanap­un, mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, berikutan kecederaan­nya parah,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu polis memburu seorang lelaki berusia 54 tahun yang menggunaka­n nama ‘Padukaseti­adiraja Azmi Ismail’ di laman sosial Facebook dan dipercayai tinggal di Kemaman untuk membantu siasatan.

“Orang ramai yang mengenali individu ini atau mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek diminta segera menghubung­i polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Baharudin berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederak­an dengan senjata.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia