Kenyataan tak masuk akal
Kuala Lumpur: Kenyataan Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berhubung isu pemansuhan tol di Balakong dianggap mengelirukan pengundi selain bercanggah dengan keputusan kementerian berkenaan.
Calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Tan Chee Teong berkata, demi membantu calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki menang, Mohd Anuar sanggup menipu penduduk Balakong dengan mendakwa kerajaan pusat akan mansuhkan tol secara berperingkat.
Kata Chee Teong, apabila Mohd Anuar turun ke Balakong kelmarin (untuk berkempen), beliau mendakwa PH akan mansuhkan tol secara berperingkat.
“Namun, pada hari sama, menterinya, Baru Bian pula berkata, kementerian terbabit belum membuat kajian mengenai isu berkenaan, jadi tiada keputusan yang dibuat.
“Dengan ini jelas bahawa Anuar Tahir sengaja mengelirukan rakyat dan demi kemenangan, beliau sanggup menipu.
“Dalam hal pemansuhan tol ini, siapa yang sebenarnya menipu?
“Kami kesal integriti dikorbankan semata-mata untuk mencapai kemenangan dalam PRK ini,” katanya pada sidang media di bilik gerakan MCAdi Balakong, semalam.
Hadir sama, Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun.
Menurut Chee Teong lagi, jawapan Baru pada sesi Dewan Rakyat 13 Ogos lalu menyatakan bahawa keadaan kewangan negara tidak mampu membayar pampasan berjumlah RM400 bilion dan pelan memansuhkan tol akan ditangguhkan.
Katanya, pada 28 Ogos pula, Anuar Tahir mendakwa tol akan dimansuhkan secara berperingkat dan hari yang sama, Baru pula berkata bahawa tiada kajian dibuat.
“Dalam hal ini, ia jelas bahawa janji memansuhkan tol belum disahkan lagi.
“Oleh itu, saya berpendapat bahawa Siew Ki patut mengecam Mohd Anuar kerana menipu penduduk di sini,” katanya.