Harian Metro

Carta kereta idaman pencuri

- Alzahrin Alias zahrin@nstp.com.my

„ Proton Wira, Iswara dan Toyota Hilux model persendiri­an paling tinggi dilaporkan hilang

Permintaan tinggi terhadap alat ganti, komponen serta aksesori terpakai Proton Wira, Proton Iswara dan Toyota Hilux antara penyebab tiga model kenderaan persendiri­an berkenaan kekal menjadi sasaran utama pencuri kereta di Malaysia.

Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dalam laporan separuh pertama 2018 berkata, kereta Proton adalah jenama kelas kenderaan persendiri­an yang paling banyak direkodkan membuat tuntutan kecurian iaitu sebanyak 654 unit.

Proton Wira mendahului senarai tuntutan kecurian pada separuh pertama 2018 sebanyak 250 unit, diikuti Proton Iswara (188), Toyota Hilux (183), Perodua Kancil (128), Perodua Myvi (111), Proton Saga (110), Proton Waja (69), Nissan Vannette (59), Honda Civic (56) dan Proton Satria (37).

Perunding dan Penyelaras Vehicle Theft Reduction Council of Malaysia Bhd (VTREC), Mohd Yusof Idris berkata, jumlah tuntutan kecurian untuk semua kelas kenderaan mencatatka­n penurunan sebanyak 31 peratus kepada 5,913 unit pada separuh pertama 2018 berbanding 8,560 unit pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Yusof berkata, kelas kenderaan persendiri­an mencatatka­n penurunan 31 peratus kepada 2,156 unit; motosikal jatuh 29 peratus kepada 3,475 unit manakala, kenderaan komersial susut 39 peratus kepada 282 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Bagi keseluruha­n tuntutan insuran kenderaan membabitka­n kes kemalangan, kerosakan dan kecurian, syarikat insurans membayar RM14.8 juta setiap hari pada Januari hingga Jun tahun ini dengan jumlah keseluruha­n sebanyak RM2.71 bilion.

“Angka itu meningkat satu peratus berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak RM2.68 bilion. Ia membimbang­kan kerana syarikat insurans perlu membayar jumlah tinggi dan ia memerlukan lebih banyak inisiatif bagi memastikan kejadian seperti kecurian dapat dielakkan.

“Malaysia juga berada di kedudukan ketiga terburuk di ASEAN dalam kes tuntutan insurans kenderaan di belakang Thailand dan Vietnam,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi sektor insurans am Malaysia di Wisma PIAM, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi PIAM, Antony Lee Fook Weng, Timbalan Pengerusi PIAM, Chua Seck Guan dan Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Mark Lim.

Sementara itu, Anthony berkata, PIAM bekerjasam­a dengan pelbagai pihak dalam melaksanak­an penguatkua­saan dan meningkatk­an kesedaran di kalangan pengguna kenderaan.

Beliau berkata, pihaknya mengambil serius mengenai tuntutan insurans kenderaan termasuk kecurian kerana angka ini walaupun mencatatka­n penurunan namun ia masih lagi tinggi.

“Insurans motor adalah sektor yang sangat sukar dan mencabar kepada syarikat insurans kerana di sebalik kadar kecurian yang masih tinggi, kadar kemalangan dan kematian juga di tahap membimbang­kan,” katanya.

“Lantaran itu, PIAM menyeru semua pihak termasuk kementeria­n untuk bersama-sama mengatasi kes membabitka­n sektor motor ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia