Harian Metro

Vietnam singkir takraw wanita negara

-

Palembang: Perjalanan skuad sepak takraw wanita berakhir pada peringkat kumpulan selepas gagal melayakkan diri ke separuh akhir acara kuadran apabila tewas 0-2 kepada Vietnam semalam.

Pada aksi di Bandar Sukan Jakabaring, anak buah Fikri Mohd Nor ternyata gagal menangkis asakan kuadran Vietnam apabila kecundang 11-21 pada set pertama.

Bersambung set kedua, pemain negara yang dibarisi Emilia Eva Natasha Saudia, Nurul Izzatul Hikmah Md Zulkifli, Rahilah Harun dan Nor Farhana Ismail cuba bangkit, namun masih tidak dapat menyaingi kehebatan lawan dengan keputusan memihak Vietnam 21-15.

Kekalahan itu turut menutup ruang skuad negara untuk sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa dan masih kempunan memenangi pingat Sukan Asia selepas skuad negara turut pulang hampa tanpa sebarang pingat menerusi penampilan sulung edisi ke-17 di Incheon pada 2014.

Mengulas mengenai kekalahan anak buahnya pada perlawanan itu, Fikri berkata, skuad negara mampu mencatat kemenangan seandainya pemain negara tidak melakukan kesilapan mudah yang dimanfaatk­an Vietnam.

“Kami mampu menyaingi Vietnam sebenarnya, tapi pemain lawan mengambil kesempatan atas kesilapan mudah pemain kami.

“Secara keseluruha­n, saya melihat prestasi pemain negara meningkat kali ini walaupun mereka kurang mendapat pendedahan di peringkat antarabang­sa,” katanya. - BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia