TRAGEDI BOLA HANYUT
“Lokasi kejadian adalah sebuah kolam tadahan air sedalam antara 2.7 hingga tiga meter dan tidak berpagar”
Norazam Shaari
Budak 10 tahun lemas dalam kolam tadahan air
Tindakan seorang kanak-kanak cuba mengambil bola dalam kolam tadahan air di belakang sebuah flat di Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam di sini, membawa padah apabila dia ditemui lemas, kelmarin.
Mangsa, Eezender Neo Gaong, 10, ditemui lemas jam 11.25 malam ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Norazam Shaari berkata, mangsa berketurunan Iban bersama lapan rakannya berusia antara lapan hingga 10 tahun bermain bola dan berenang dalam kolam berkenaan.
“Mangsa dan rakannya ke kawasan berkenaan kira-kira jam 3 petang. Dia dipercayai cuba mengambil bola yang hanyut ke tengah kolam.
“Lokasi kejadian adalah sebuah kolam tadahan air sedalam antara 2.7 hingga tiga meter dan tidak berpagar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Norazam berkata, polis menasihatkan orang ramai tidak membiarkan anak bermain dan mandi di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Ketua BBP Pasir Gudang Ibrahim Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.03 malam dan 14 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, kami terus melakukan SAR seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun seperti dilaporkan.
“Anggota menemui mayat mangsa kira-kira 10 meter dari tebing kolam lokasi dia dilaporkan terjatuh,” katanya.
Ibrahim berkata, mayat kanak-kanak itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.